USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BIMB SUMBANG ZAKAT RM50,000 KEPADA USM

usmzakat

PULAU PINANG, 19 Mac 2013 – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyumbangkan zakat berjumlah RM50,000 kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk diagihkan kepada para pelajar institusi ini dalam satu majlis khas di sini semalam.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM berbesar hati menerima bantuan kewangan tersebut yang dilihat sebagai satu wadah yang dapat membantu meringankan bebanan kewangan pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, USM juga turut melahirkan rasa senang dengan kerjasama yang telah dijalin bersama institusi kewangan terkemuka tersebut sejak sekian lama, sekaligus berharap lebih banyak perkara dapat diteroka dengan lebih mendalam.

``USM turut berharap dapat mengukuhkan kerjasama lebih erat dengan BIMB terutamanya dalam pelebaran kursus-kursus akademik berteraskan pengurusan kewangan Islam.

``Kita melihat BIMB lebih dari sekadar institusi kewangan, sebaliknya turut berperanan sebagai rakan pintar yang mempunyai kepakaran yang dapat dikongsi dengan warga kampus khususnya para pelajar,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengurus Besar BIMB, Datuk Wan Ismail Wan Yusof pula berkata, zakat yang disumbangkan itu diperoleh daripada keuntungan operasi perniagaan dan setiap tahun BIMB memperuntukkan RM1 juta untuk diagihkan kepada universiti-universiti.

``Sehingga kini USM merupakan salah sebuah universiti yang menerima wang zakat dalam jumlah yang agak tinggi dan ia telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu melalui kerjasama erat yang dijalin,’’ katanya.

Tambah beliau, selain USM, BIMB turut mengagihkan zakat tersebut kepada beberapa universiti lain dalam negara dengan jumlah di antara RM10,000 hingga RM30,000 yang diagihkan mengikut keperluan setiap universiti. Teks:Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1876

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024