DR. FATANAH PENSYARAH USM PERTAMA TERIMA ANUGERAH EMBS

USM PULAU PINANG, 6 Mei 2020 – Pensyarah Kanan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi telah melakar sejarahnya tersendiri apabila berjaya mendapat anugerah Early Career Achievement Award 2019 daripada IEEE Engineering in Medicine & Biology Society (EMBS) Malaysia Chapter.

WhatsApp_Image_2020-05-08_at_14.26.34.jpeg

Lebih menarik lagi ini adalah merupakan kali pertama EMBS memperkenalkan anugerah tersebut dan bagi kategori Early Career Achievement Award 2019, Fatanah adalah merupakan penerima pertama bagi kategori tersebut dan juga yang pertama di USM.

Anugerah ini dinobatkan berdasarkan rekod kerjaya beliau yang sangat cemerlang dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan sepanjang tempoh kerjaya setelah tamat PhD.

Majlis penganugerahan yang dijadualkan pada bulan April terpaksa ditangguhkan penganjur ekoran daripada wabak pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Namun EMBS memaklumkan bahawa majlis penganugerahan tersebut akan dijadualkan semula selepas berakhirnya PKP nanti.

Beliau akan menerima sijil penghargaan serta plak dan akan dijemput untuk membentangkan kertas penyelidikan dalam Chapter’s Flagship Regional Conference yang dijadualkan pada tahun 2021. 

Fatanah, 35, mula berkhidmat dengan USM pada tahun 2012 sebagai pensyarah.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2008.  Kemudiannya, pada tahun 2012, beliau dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari University of Canterbury, New Zealand. 

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau setelah mendapat berita diumumkan sebagai pemenang anugerah, beliau menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan sama sekali tidak menyangka akan terpilih untuk memenanginya memandangkan penyelidik dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan semakin bertambah.

“Kejayaan ini pastinya memberi suntikan motivasi dan lonjakan semangat kepada diri saya untuk bekerja lebih keras lagi dan terus memberi sumbangan kepada masyarakat umum dalam bidang penyelidikan yang amat saya minati ini,” katanya.

Bidang penyelidikannya merangkumi pemodelan komputasi sistem biologi, elektronik perubatan dan instrumentasi dalam bidang kejuruteraan bioperubatan, kawalan dan automasi, dan kecerdasan buatan. 

Antara projek penyelidikan lain yang sedang dijalankan ialah aplikasi laser dalam perubatan dan pergigian, model kawalan glisemik terhadap pesakit ICU, pembangunan peralatan perubatan (medical device) untuk rehabilitasi pertuturan serta pembangunan model sepsis dan sistem pengesanan awal sepsis.

Beliau merupakan ahli senior Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) dan ahli aktif The Institution of Engineers, Malaysia (IEM). 

Fatanah telah menerima sejumlah 6 geran penyelidikan sebagai penyelidik utama di peringkat universiti dan kebangsaan, selain menerbitkan lebih daripada 30 artikel jurnal dan 50 artikel persidangan sebagai pengarang utama dan pengarang bersama. 

Beliau terlibat secara aktif dalam kolaborasi penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa, antaranya di Malaysia, New Zealand dan Turki. 

Pada tahun 2019, beliau telah dianugerahkan fellowship penyelidikan oleh Presidency for Turks Abroad and Related Communities of Turkey.

Beliau turut terlibat secara aktif dalam projek komuniti dan industri. Antara aktiviti perundingannya merangkumi aplikasi penggunaan laser dalam industri.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015