USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANTARA IPT TERAWAL SEDIA PERKHIDMATAN TELE-KAUNSELING HADAPI WABAK COVID-19

hotlinekauns5

PULAU PINANG, 4 Mei 2020 – Pelbagai tindakan pantas diambil oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan warganya terjamin semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak COVID-19, antaranya adalah perkhidmatan kaunseling secara dalam talian atau tele-kaunseling.

Inisiatif menyediakan perkhidmatan intervensi kaunseling dan nasihat kepada warga kampus ini telah dilaksanakan secara meluas sejurus penetapan PKP diumumkan oleh pihak kerajaan pada 18 Mac yang lalu, menjadikan USM antara institusi pendidikan tinggi terawal menyediakan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian sejak PKP dijalankan.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, tindakan PPIP melaksanakan perkhidmatan tele-kaunseling ini adalah atas nasihat dan pandangan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang mengharapkan staf terutamanya barisan hadapan dan pelajar yang terkesan sentiasa berada dalam keadaan baik dan sejahtera sepanjang tempoh PKP.

“Sehingga kini USM mempunyai 8 orang pensyarah kaunseling yang berkelulusan Ph.D. dan merupakan Kaunselor Profesional bertauliah yang diiktiraf oleh Lembaga Kaunselor Malaysia, malah sebelum kes COVID-19, pensyarah-pensyarah tersebut sememangnya telah mengadakan perkhidmatan kaunseling bersama 30 orang pelajar Sarjana Kaunseling  kepada seluruh warga kampus yang memerlukan,” katanya.

COVID PPIP WEB BANNER 02

Tambahnya, PPIP juga telah menempatkan pelajar tersebut di beberapa buah pusat pengajian di USM di samping perkhidmatan dilaksanakan di bilik kaunseling PPIP yang baharu dinaik taraf pada tahun 2019.

Sehingga kini pihak PPIP telah menerima panggilan dan juga rujukan secara ‘whatsapp’ dari 30 klien menerusi 40 kes semasa dan susulan dari warga USM yang merangkumi pelbagai elemen rujukan baik hal akademik mahupun emosi dan keperluan sosial akibat PKP. 

”Daripada 30 klien tersebut, 24 klien adalah merupakan pelajar USM yang merangkumi ketiga-tiga kampus dan 5 staf USM  manakala 1 kes unik iaitu  dari individu  awam sekitar USM yang amat memerlukan motivasi diri berikutan isu kesihatan COVID-19 ini.

“Dari sudut jantina pula, klien lelaki adalah seramai 17 orang dan perempuan sebanyak 13 orang sehingga 2 Mei 2020,” jelas Shaik Abdul Malik lagi.

PM MALIK

Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail

Tambah beliau, inilah Inisiatif baharu perkhidmatan yang amat bernilai dari PPIP yang dapat disumbang kepada warga kampus dengan aspek keperluan komunikasi semasa situasi ketika ini.  

Dalam kesempatan itu, terdapat juga orang ramai menelefon hotline ini untuk dapatkan pelbagai konsultasi di USM. Secara tidak langsung inisiatif baharu ini menjadi nilai tambah dalam norma baharu perkhidmatan di USM,” jelasnya.

Di akhir temubual, Shaik Abdul Malik menyimpulkan kes yang dirujuk telah dapat diselesaikan dengan baik serta kes-kes yang memerlukan susulan tindakan akan dirujuk semula oleh para kaunselor bagi memastikan kes dapat ditangani dengan baik dan memenuhi sebahagian besar keperluan klien.

Perkhidmatan ini telah ditingkatkan selepas PKP dilaksanakan dengan wujudnya talian Hotline (014-5351100) 24 jam dan jadual bertugas pasukan Kaunselor telah ditetapkan mulai dari 18 Mac 2020 - 23 Mei 2020 bagi fasa pertama.

Ia akan berterusan pada bulan Ramadhan untuk semua warga USM yang memerlukan perkhidmatan ini.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni serta pihak pengurusan tertinggi USM atas kepercayaan kepada PPIP bagi melaksanakan perkhidmatan ini. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada Profesor Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad, Ketua Kluster Kaunseling PPIP  dan pasukan yang menyelaraskan  urusan intervensi, jadual tugas dan pelaporan kes rujukan serta Ketua Penolong Pendaftar PPIP, Mohd Faizal Md Osman, yang mengendalikan hotline PPIP selama  24 jam mulai 18 Mac 2020.

Pihak PPIP juga bersedia secara berterusan untuk menambahbaik kemudahan perkhidmatan intervensi ini bagi memastikan ianya dapat memberi impak dan bimbingan yang terbaik ke arah motivasi dan kecemerlangan warga USM – pelajar, staf dan juga orang awam,” katanya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar & Mohd Faizal Md. Osman/Foto: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan

  • Created on .
  • Hits: 1545

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024