GEMBIRA TIDAK TERKATA, IBU BAPA BERSYUKUR ANAK DAPAT PULANG
PULAU PINANG, 3 Mei 2020 – Ibu bapa mana yang tidak bimbangkan keselamatan anak tersayang, apatah lagi ketika berjauhan di saat negara sedang hebat berdepan kemelut penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
Bagi Zulkepli Hassan, bapa kepada pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan USM, Norzeity Amalin Zulkepli nyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya menyambut kepulangan anak yang dirindui.
Beliau berkata, walaupun sebelum ini berasa bimbang memikirkan anakanda yang berada jauh di mata, namun beliau berasa sangat terharu atas tindakan semua pihak dalam menjaga kebajikan pelajar di universiti awam (UA), sekaligus melenyapkan kebimbangan yang dihadapinya.
"Saya amat bersyukur anak saya selamat pulang dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat," ujarnya yang tidak henti-henti menzahirkan rasa penghargaan atas layanan dan keprihatinan semua pihak terhadap kebajikan para pelajar yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kampus.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah Zulkepli yang datang menjemput anaknya di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang dikawal selia oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD Kota Bharu) Kelantan.
Norzeity pula berkata, beliau amat teruja ketika mendapat berita pelajar dapat pulang ke kampung khususnya ketika semua umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa, ditambah pula dapat melepaskan rindu kepada ayah bonda.
"Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih khususnya kepada pihak kerajaan, USM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ramai lagi frontliners yang bekerja sehabis baik dalam menguruskan kepulangan kami.
"USM misalnya telah banyak bersusah-payah menjaga kebajikan pelajar sepanjang tempoh PKP. Bukan mudah mengurus dan dalam masa yang sama memastikan setiap keperluan pelajar terjaga terutama makan dan minum di kampus," ujarnya sambil melahirkan rasa terharu kerana pihak Pusat Islam USM di Kampus Kejuruteraan sentiasa menyediakan juadah berbuka dan bersahur dalam bulan Ramadan.
Seorang lagi pelajar yang terlibat dengan penghantaran pulang ialah Ting Wen Kiat, pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Kampus Kejuruteraan USM.
Beliau yang berasal dari Bandar Baru, Kubang Kerian, Kelantan dijemput oleh ayahnya, dilihat tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terharu dengan bantuan semua pihak sehingga dapat kembali ke kampung halaman dengan selamat.
"Saya amat berterima kasih kepada keprihatinan pihak USM yang memberikan layanan yang baik sepanjang menjalanai PKP dalam kampus. Makan minum dan kebajikan pelajar memang terjaga dan tidak terkurang walau sedikit pun," ujar beliau.
Kegembiraan ini turut dikongsi oleh ayahnya yang tidak henti-henti mengucapkan terima kasih atas layanan dan bantuan USM kepada anaknya semasa di kampus termasuk urusan penghantaran pulang, semasa ditemui membantu anaknya memasukkan barang-barang ke dalam kereta di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Dalam pada itu, Ops Hantar Pulang pelajar menyaksikan ribuan pelajar dari universiti awam dan universiti swasta yang berada di kampus masing-masing pulang ke pangkuan keluarga dengan disediakan perkhidmatan bas Universiti secara percuma dan dikawal-selia dengan pelbagai prosedur khusus bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi masing-masing.
Teks: Zamzami Rasidi
- Created on .
- Hits: 872