USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OPS HANTAR PULANG PELAJAR USM BERJALAN LANCAR, USM ZAHIR RASA SYUKUR

PULAU PINANG, 2 Mei 2020 – Sejumlah 267 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) selamat tiba di lokasi masing-masing meliputi daerah-daerah di tiga negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang lewat petang hari ini.

WhatsApp_Image_2020-05-02_at_12.09.11.jpeg

Ketibaan para pelajar itu disambut oleh waris masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terlibat dengan mengikut prosedur operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan dalam Ops Hantar Pulang para pelajar UA/US yang telah bermula penghujung April lalu.

Pergerakan pulang pelajar USM yang melibatkan tiga belas buah bas itu adalah yang kedua selepas yang pertama dua malam yang lepas melibatkan pergerakan seramai 165 pelajar ke negeri-negeri wilayah utara termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, pihaknya menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi ini.

"Saya turut berbangga dengan penglibatan dan libatsama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) di semua desasiswa yang bertungkus-lumus berusaha untuk membolehkan hal ini dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.

"Alhamdulillah, perjalanan yang sukar menjadi mudah dan semua pelajar USM yang balik ke Utara dan ke pantai timur hari ini berjalan lancar. Kita berdoa dan berharap hal yang sama turut berlaku untuk kepulangan pelajar seterusnya hingga selesai," ujar beliau.

Aldrin turut menyeru semua siswa dan siswi yang pulang ke rumah mengambil peluang menghabiskan masa bersama keluarga dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin. 

"Patuhi setiap arahan pihak berkuasa. Walaupun kawalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, jangan ambil mudah kerana COVID-19 boleh mengancam kita bila-bila masa sahaja.  

Gunakan masa yang ada untuk meneruskan pembelajaran dalam talian dan manfaatkannya untuk membaca dan mengulangkaji," katanya. 

Beliau turut mengingatkan agar para pelajar dapat menghubungi pensyarah di pusat pengajian jika memerlukan bantuan sewajarnya atau menghadapi sebarang masalah berkaitan pembelajaran dalam talian.

"Kepada yang beragama Islam, selamat menghabiskan ibadah puasa di bulan Ramadan ini dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang. Ikutilah saranan MKN demi memastikan keselamatan kita, keluarga dan masyarakat," ujar beliau lanjut.

Dalam pada itu, USM sentiasa mengikuti SOP ditetapkan untuk membawa pulang pelajar ke rumah masing-masing termasuk membenarkan hanya para pelajarnya yang telah menjalani prosedur kesihatan dengan menjalani saringan, mengisi borang deklarasi dan sebagainya.

WhatsApp_Image_2020-05-02_at_12.16.51.jpeg

Kenderaan-kenderaan yang digunakan juga telah menjalani proses dekontaminasi melalui kerjasama di antara pihak bomba, Pusat Sejahtera dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, USM.

Selain itu, perjalanan turut dibantu dengan kawal-selia oleh pegawai pengiring (LO) yang terdiri daripada pegawai-pegawai universiti.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 958

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024