USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPSP TERUSKAN USAHA HASILKAN HAND SANITIZER, DIAGIH SECARA PERCUMA KEPADA WARGANYA

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 April 2020 – Aspek kebersihan tangan merupakan satu faktor penting dalam membendung jangkitan COVID-19 yang menular di seluruh dunia dan banyak inisiatif diambil oleh pelbagai pihak dalam menyokong langkah penjagaan kebersihan berkenaan.

Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengambil inisiatif serupa apabila menyediakan sejumlah peruntukan bagi menghasilkan hand sanitizer untuk diberikan secara percuma kepada setiap staf dan pelajar di PPSP.

Dekan PPSP, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, penyediaan hand sanitizer sangat penting bagi staf dan pelajar PPSP kerana sebilangan besar daripada mereka perlu ke hospital, berinteraksi dengan pesakit atau menjalankan ujian-ujian ke atas sampel pesakit di Hospital USM. 

WhatsApp_Image_2020-05-02_at_11.52.53_2.jpeg

Justeru katanya, PPSP telah membentuk satu task force penyediaan hand sanitizer yang dipengerusikan oleh Profesor Dr. Aida Hanum Ghulam Rasool serta Prof. Madya Dr. Sarina Sulong untuk melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada warga PPSP itu.

WhatsApp_Image_2020-05-02_at_11.52.54.jpeg

Tambah beliau, hand sanitizer itu telah dinamakan sebagai 'PharmaGen' sempena gabungan nama 'Pharmacology' dan 'Genome', dua jabatan utama di PPSP yang telah bekerjasama menyediakan bahan berkenaan. 

“Bagi memenuhi keperluan warga PPSP, sebanyak 200 liter hand sanitizer telah disediakan yang mana ia meliputi dua jenis saiz termasuk botol peribadi dengan kandungan 50 ml (2,900 unit) dan botol dispenser bersaiz 500 ml (120 unit),” ujar beliau.

ubat.jpg

Shaiful turut berkata, botol peribadi mengambil kira pengagihan kepada staf dan pelajar (siswazah dan sarjana muda) manakala botol 500 ml pula akan diagihkan kepada semua jabatan/unit/pusat/pejabat dan juga ditempatkan di tempat-tempat pengajaran seperti dewan kuliah, bilik tutorial dan lain-lain lagi. 

“Penyediaan tambahan juga akan dibuat supaya warga PPSP hanya perlu membawa botol kosong asal untuk diisi semula. Sebahagian hand sanitizer ini juga akan dibawa kepada pelajar perubatan USM di Kampus Antarabangsa KLE (Belgaum, Karnataka, India),” ujarnya.

Shaiful bersama pasukan PPSP turut sama mengagihkan PharmaGen kepada para pelajar yang telah diberikan keizinan oleh kerajaan untuk pulang ke rumah masing-masing dalam tempoh PKP fasa 4 ini.

Dalam pada itu, penyediaan hand sanitizer berkenaan dibuat mengikut formulasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mengandungi Isopropyl alcohol 75% (v/v), Glycerol 1.45% (v/v) dan Hydrogen peroxide 0.125% (v/v).

Sanitizer tangan berasaskan alkohol telah dipilih kerana keberkesanannya dalam menangani virus COVID-19. Ujian mikrobiologi juga telah dijalankan oleh Jabatan Mikrobiologi, PPSP bagi memastikan tahap keberkesanannya.

Sumber: Prof. Dr. Aida Hanum Ghulam Rasool/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024