KISAH “PENANTIAN SUATU PENYEKSAAN” BERAKHIR, TERIMA KASIH SEMUA
USM PULAU PINANG, 29 April 2020 – Sesungguhnya perasaan resah gelisah diselaputi kegembiraan buat pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah dan akan bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing buat masa ini dan kegembiraan terserlah di wajah mereka tatkala negara masih berperang melawan wabak COVID-19.
Kebajikan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah mendapat pembelaan pada fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini dengan keputusan telah dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kebenaran buat mereka pulang ke kampung halaman mereka di Zon Hijau dengan mematuhi peraturan dan prosedur operasi piawai (SOP) yang digariskan serta libatsama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menurut Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, MPP USM mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat jalan dan selamat kembali ke kampung halaman buat rakan-rakan mahasiswa yang akan pulang ke destinasi masing-masing.
“Seterusnya MPP USM berharap para mahasiswa sentiasa mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan seperti memakai topeng muka, menjaga jarak sosial, meminimumkan pergerakan dan lain-lain sepanjang perjalanan pulang nanti,” jelas Asyraf yang juga merupakan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Sementera itu, pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Komunikasi, Kanan Kalimuthu yang akan bertolak pulang ke kampungnya di Sungai Bakap, Jawi menzahirkan rasa bersyukur serta berterima kasih kepada KPT dan USM kerana memahami situasi semasa serta mengambil berat tentang kebajikan pelajar dan harapan ahli keluarga pelajar.
“Saya juga akan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi lain berkaitan dalam menangani wabak ini kerana peluang yang diberikan ini harus dibalas dengan terus berperang menangani wabak ini di rumah dan saya menyeru semua pelajar untuk terus kekal di rumah masing-masing kelak supaya penularan wabak ini dapat ditangani dengan proaktif,” katanya.
Bagi pelajar tahun satu Pusat Pengajian Pengurusan, Nor Hidayah Nor Hakimi pula, perasaan gembira tidak dapat disembunyikan kerana penantian untuk pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta akhirnya tercapai dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan pada fasa keempat PKP ini.
“Saya berharap agar wabak COVID-19 ini dapat berakhir kelak dan pelajar-pelajar lain dapat pulang ke kampung halaman masing-masing dan kehidupan seperti dahulu dapat dinikmati semula semua warga dunia,” jelasnya yang akan pulang ke Perlis.
Chai Wai Yeng yang merupakan pelajar tahun empat Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan pula berkongsi kerisauan keluarganya terhadap kebajikan beliau di kampus.
“Bagi saya, tinggal di kampus tiada masalah kerana faktor kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak universiti, namun memandangkan ibu bapa amat risaukan saya, saya mengambil peluang ini untuk pulang dengan kemudahan tersusun yang disediakan pihak USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi serta pihak lain yang terlibat,” jelasnya yang akan pulang ke Padang Serai, Kedah.
Pelajar tahun empat, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Mohammad Suhaili Saperi pula menceritakan mengenai ayahnya yang amat risau akan keselamatan dan kebajikan beliau di USM tetapi beliau akhirnya meyakinkan ayahnya bahawa USM menjaga kebajikan semua pelajarnya yang berada di dalam dan luar kampus dengan baik.
“Melalui inisiatif yang dibuat oleh kerajaan ini dan langkah pelaksanaan yang baik oleh pihak universiti, saya mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat dan jasa baik ini akan saya kenang sampai bila-bila sepanjang hidup ini,” ujarnya yang akan pulang ke Pulau Langkawi.
USM telah melakukan inisiatifnya dengan memulakan pergerakan pada malam 29 April 2020 melibatkan 13 pengangkutannya yang menghantar pulang 173 pelajarnya merentasi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis manakala keesokan harinya satu lagi perjalanan ke Kedah.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1447