RAMADHAN@COVID-19: HIKMAH BUAT WARGA UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 28 April 2020 – Ramadhan Al-Mubarak yang disambut tahun ini oleh warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) sudah pasti menjadi kenangan dan sejarah pada masa hadapan tatkala negara sedang berdepan wabak pandemik COVID-19, dan di sebalik itu, ia membawa hikmah dan rahsia dari Allah S.W.T. buat umat manusia di dunia.
Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Hj. Mohamad Shukri Osman berkata, Ramadhan@COVID-19 baginya merupakan bulan Ramadhan yang cukup istimewa disebabkan selain bekerja dari rumah, warga kampus juga menjalankan ibadah puasa dalam keadaan pencegahan wabak COVID-19 yang sudah semestinya membuahkan pelbagai hikmah tersendiri untuk dikekalkan pada masa hadapan.
“Itulah keunikan dan ajaibnya seorang muslim iaitu semua yang berlaku diterima dengan gembira dan ceria serta berfikiran positif. Jika diuji dengan perkara yang baik, kita akan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi-Nya, malah jika diuji dengan musibah dan duka, kita sentiasa dituntut untuk bersabar dan terima dengan positif, hanya pada diri mukmin saja diperoleh keyakinan ini,” katanya lagi.
Shukri turut percaya warga kampus terutamanya kakitangannya dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan bernilai untuk diri masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu kepimpinan dan kepentingan institusi kekeluargaan selain tanggungjawab dalam urusan pekerjaan.
“Dengan moto USM ‘Kami Memimpin’, sudah semestinya saya yakin dan percaya bahawa Ramadhan kali ini telah wujudnya perkara positif yang boleh dizahirkan sebagai hikmah.
“Menjadi Imam, Bilal, tukang masak, tukang kebun seterusnya bersedia menjadi khatib hari raya Aidil Fitri di rumah bersama keluarga merupakan pengalaman manis yang tidak akan dilupakan, dan inilah dikatakan ‘Kami Memimpin’ kerana melahirkan warga kampus yang berjiwa pemimpin tidak mengira jawatan dan pangkat,” katanya ketika menyampaikan tazkirah “RAMADHAN@COVID-19: DI MANA HIKMAHNYA?” secara talian buat tatapan umum.
Selain itu, beliau turut menyatakan aspek kelestarian yang diperjuangkan USM, secara langsung Ramadhan kali ini telah mengajar kita erti kesederhanaan dan tidak ada lagi bermewah-mewahan makanan sehingga berlaku pembaziran.
“Ramadhan@COVID-19 mengajar kita supaya menyambutnya dengan penuh kesederhanaan dan tidak ada lagi pembaziran serta penghayatan kelestarian yang menjadi pegangan warga USM selama ini,” tambah Shukri lagi.
Di akhir tazkirah, beliau berharap seluruh warga kampus yang dikasihi dapat menyuburkan sifat kesabaran, kepimpinan dalam hati dan sayangi keluarga masing-masing kerana inilah masanya Allah S.W.T. menjelmakan hikmah kenapa Ramadhan pada tahun ini berada dalam suasana PKP.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1130