INISIATIF WUJUD DPP DIPUJI
PULAU PINANG, 15 Mac 2013 – Inisiatif Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan langkah mewujudkan Dewan Perundingan Pelajar (DPP-Parlimen Mahasiswa) disifatkan sebagai satu kejayaan dalam melatih pelajar kepada satu sistem berhujah yang sepatutnya.
Speaker Dewan Negara, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pelaksanaan DPP yang dilihat mendahului lain-lain universiti adalah cara terbaik untuk membentuk jati diri pelajar khususnya dalam memikirkan dan melontarkan sesuatu hujah.
Katanya, ia turut memberi pendedahan kepada mereka untuk menyuarakan pendapat demi kebaikan dan mendapatkan keputusan boleh sesuai bagi mentadbir dan melaksanakan sesuatu perkara dalam universiti.
``Secara umumnya, cara yang dipraktikkan sama seperti yang diamalkan di Dewan Rakyat dan Negara, termasuk mencadangkan usul, berbahas, undi dan sebagainya. Sekalung tahniah buat Universiti khususnya ahli-ahli DPP atas inisiatif mulia yang telah diambil,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan DPP di USM di sini semalam. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein, TNC Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan TNC Bahajian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ See Ching Mey.
Tambah Abu Zahar, cadangan yang dikemukakan para ahli dan perbahasan usul dilihat menggambarkan kualiti para pelajar yang mencerminkan akal dan minda yang tinggi.
``Mereka ini (pelajar) adalah antara golongan yang bertuah kerana sejak di universiti telah diberi pendedahan kepada satu sistem yang telah diamalkan sejak sekian lama di dewan yang mulia.
``Para pelajar inilah pemimpin masa depan yang dapat mencorak budaya berbahas yang sepatutnya, yang mencerminkan suasana harmoni, aman dan tertib dalam menyuarakan pendapat masing-masing,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, DPP memperlihatkan dua usul dicadangkan dan diterima dewan, termasuk cadangan membudayakan semula kelestarian dalam kampus dan memansuhkan nisbah dalam penggunaan Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M).
DPP telah dipengerusikan oleh Speaker Dewan, Haja Mydin Abdul Khetoos. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2409