USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENDEKATI HERO SEBENAR: SEMANGAT KENTAL CORAK KEPERIBADIAN BAKAL DOKTOR

Jika melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itu adalah antara pepatah yang popular digunakan bagi menzahirkan betapa pentingnya pembentukan sahsiah dimulakan sejak dari kecil.

Maka tidak hairanlah jika kita menyingkap kisah-kisah kejayaan mana-mana tokoh dan figura terkenal, sebilangan besarnya mencipta karisma kesan dari pengalaman hidup yang mengajar dan mencorak keperibadian.

Dari kecil kita telah dididik untuk menjadi manusia berguna, jika tidak kepada orang lain pun, paling tidak kepada kedua-dua ibu bapa yang membesarkan kita. 

Sahsiah mulia yang dimimpikan para ibu bapa itu dizahirkan oleh sekumpulan pelajar Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE atau lebih dikenali USM-KLE IMP, program pesisir USM di Belgaum India, khususnya ketika dunia bergelut mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang membawa maut.

WhatsApp_Image_2020-04-27_at_00.22.17.jpeg

Paling mengerikan, bukan sekadar nyawa menjadi taruhan, wabak yang muncul di saat dunia sedang rancak menyusur revolusi industri 4.0 itu telah mengubah norma kehidupan sebilangan besar masyarakat di dunia.

Kumpulan pelajar perantau ini adalah nadi kepada USM untuk menjadi mata dan telinga, menjadi pendengar kepada rakan perantau yang lain, menyelesaikan mana yang tersimpul dan membantu sedaya-upaya mereka untuk menyediakan segala yang diperlukan oleh warga USM-KLE pada ketika kebanyakan negara di dunia terpaksa ‘lockdown’.

Mereka juga serupa khuatirnya, setara bimbangnya dan sama takutnya dengan lain. Namun atas dasar tanggungjawab dan sahsiah yang tinggi, kumpulan ini bangkit menggalas tanggungjawab demi insan yang lain.

Kumpulan yang dimaksudkan adalah ahli Persatuan Perubatan USM-KLE 2019/2020 atau lebih popular dengan nama MedSoc.

Persatuan yang diketuai oleh Presidennya, Zakry Mustaqim Yahya, pelajar perubatan tahun tiga itu antara lain berperanan menjadi suara yang mewakili 365 pelajar perubatan nun jauh di daerah Belgaum, Karnataka yang terletak di barat daya India itu.

Pada kebiasaannya, seperti juga persatuan-persatuan lain, MedSoc turut dianggotai oleh majlis tertinggi dan ahli jawatankuasa yang menjaga portfolio tertentu bagi menjaga kelangsungan dan kesejahteraan kumpulan yang diwakilinya.

Antara perkara-perkara yang diberi perhatian mereka adalah dalam menjaga hal-ehwal akademik, kebajikan, sukan dan rekreasi, kesihatan, kerohanian dan sebagainya.

Namun, siapa menyangka, MedSoc 19/20 mendapat pengalaman yang tidak disangka apabila terpaksa berhadapan dengan tempias penularan pandemik maut COVID-19 sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bukan setakat rakan sekampus, malah turut menggusarkan perasaan ibu bapa yang jauh di mata.

BERDEPAN SITUASI CEMAS PENULARAN WABAK COVID-19 DI INDIA

Zakry Mustaqim ketika dihubungi berkata, beliau dan rakan-rakan pada mulanya agak khuatir dengan tahap penularan wabak berkenaan di peringkat global, tidak terkecuali di India.

Pun begitu katanya, kekhuatiran itu terpaksa diketepikan seketika bagi memastikan langkah-langkah awal dapat dikoordinasikan bagi mengelak berlakunya panik dalam kalangan pelajar khususnya ketika India turut mengarahkan perintah 'lockdown' di semua daerah di sana.

"Sebenarnya untuk mengatakan kucar-kacir berlaku di kampus adalah jauh tidak tepat, ia lebih kepada perubahan norma kehidupan ekoran terpaksa berdepan kesan daripada perintah lockdown oleh kerajaan India.

“Tambahan pula jumlah pelajar di USM-KLE agak besar sehingga mencecah sehingga 365 pelajar meliputi pelajar tahun satu sehingga tahun lima. Justeru, banyak perkara yang perlu diberikan perhatian kerana kehidupan pastinya terbatas dengan situasi lockdown,” katanya.

"Saya dan rakan-rakan MedSoc lain terus bertindak dengan tugas-tugas ad-hoc baharu dalam berdepan situasi semasa di sini. Paling mencabar adalah dalam urusan mambantu menyediakan makanan harian kepada para pelajar Malaysia di sini.

“Pun begitu, kami amat bersyukur kerana pengurusan tertinggi USM termasuk Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Timbalan Dekan USM-KLE IMP dan sebagainya sentiasa mengambil berat dan mengikuti perkembangan semasa di sini. Begitu juga dengan Pengarah USM-KLE IMP dan tenaga pengajar di sini, mereka menjaga kebajikan kami dengan baik.

“Hampir setiap hari kami dihubungi untuk memberi maklumbalas harian dan menyuarakan permasalahan yang berlaku," ujar Zakry Mustaqim.

Beliau juga berkata, pengalaman paling tidak dilupakan adalah dalam usaha menyediakan yang terbaik kepada para pelajar di KLE, mereka turut berdepan masalah kecil yang tidak dapat dielakkan, termasuk dalam mendapatkan bahan mentah untuk dimasak di dewan makan (mess hall).

"Bekalan itu sentiasa ada, cuma adakalanya mungkin dalam tempoh penghantaran berlaku kelewatan sehingga menyebabkan barangan basah yang dipesan rosak. Pun begitu ia antara pengalaman yang memberikan kami pengajaran yang amat berguna dan kami berusaha mengatasinya walau apa cara sekalipun."

Zakry Mustaqim juga menceritakan kesanggupan mereka berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di Belgaum untuk mendapatkan bahan mentah termasuk bekalan ayam, beras, tepung, bawang, telur, ubi kentang demi memastikan rakan-rakan di kampus sentiasa mendapatkan bekalan makanan yang bagus.

Ia sebenarnya bukanlah tugas mereka namun atas dasar menjaga kebajikan dan menggalas tanggungjawab sebagai tulang belakang kepada warga kampus di sana, mereka perlu bangkit memberikan yang terbaik.

Tambah beliau, selain penyediaan makanan, MedSoc turut berperanan mengambil pesanan pelajar untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan makanan kesihatan tambahan (supplements) dari farmasi tempatan dan memastikan koperasi atau kedai runcit dalam kampus (Mahesh & Pradeep) sentiasa beroperasi untuk menyediakan keperluan harian kepada pelajar.

Sehingga kini ujarnya, keadaan di KLE disifatkan berada dalam kawalan dan tidak berlaku lagi sebarang perkara yang tidak diingini.

MedSoc turut menjalankan pelbagai inisiatif lain termasuk menyediakan pelindung muka kepada janitor dan pekerja-pekerja di premis asrama, membantu urusan pelajar yang kurang sihat dengan melakukan ‘self-quarantine’ serta berhubung dengan para pensyarah berkaitan dengan masalah kesihatan pelajar dan sebagainya.

Mereka turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) isolasi untuk pelajar yang mempunyai simptom, menyediakan buku rekod pergerakan pelajar (SMR), menjalankan urusan pemeriksaan suhu badan setiap minggu dan menyediakan garis panduan kesihatan khusus kepada pelajar termasuk memastikan mereka mengamalkan kaedah penjarakan sosial, dan cara yang betul melaporkan masalah kesihatan kepada pihak berkaitan.

Tambah beliau, tanggungjawab ini sedikit sebanyak menjadi panduan bagi mereka yang bakal bergelar petugas barisan hadapan (frontliners) kelak. Ia secara tidak langsung menjadi pembelajaran secara 'hands-on' yang amat berguna di masa hadapan.

Pengalaman ini belum mengambil kira sejauh mana mereka perlu sentiasa tenang dan memberi jaminan serta mengurangkan keresahan setiap dari ibu bapa yang sudah pastinya tidak henti-henti memikirkan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka.

"Kami sedar dengan situasi semsa yang melanda kebanyakan negara di seluruh dunia. Lockdown di kebanyakan negara menyebabkan berlakunya banyak kesulitan.

Perkara yang paling penting perlu diambil kira adalah perintah lockdown dibuat bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Kami akur demi yang terbaik dengan harapan keadaan akan menjadi lebih baik dari sebelumnya dan keadaan kembali pulih dalam masa terdekat," ujarnya lagi.

KEADAAN SEMASA DI KAMPUS

"Buat masa ini keadaan masih terkawal namun ada sedikit kebimbangan dari para pelajar khususnya kerana bekalan barangan keperluan di koperasi semakin berkurangan.

“Para pengusaha berdepan kesukaran untuk menguruskan bekalan ekoran pergerakan mereka turut terbatas.

“Pun begitu, kami bersyukur kerana USM sentiasa mengambil berat dan bertindak cepat dengan bekerjasama dengan pihak KLE Society untuk menyediakan bekalan makanan harian yang disediakan pihak katerer (hotel berdekatan) kepada para pelajar.

"Sehubungan itu, kami hanya bertugas mengedarkan makanan tersebut (packed food), selain berinteraksi rapat dengan Kampus Kesihatan USM bagi memastikan para pelajar dapat mengikuti kaedah pembelajaran e-learning.

MedSoc turut berhubung dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia bagi memaklumkan keadaan pelajar dan menerima nasihat atas urusan kebajikan pelajar di sini," ujar beliau sambil memberitahu pelajar USM-KLE turut diberikan duit poket untuk membantu meringankan beban kewangan mereka. 

Mengulas lanjut berhubung pembelajaran dalam talian, para pelajar sudah pun mengikuti pembelajaran dalam talian (online learning) sejak tiga minggu yang lalu.

"Untuk tugasan klinikal, ia menjadi sedikit luar biasa kerana dibuat secara maya namun dengan situasi semasa dalam mengekang penularan wabak COVID-19, kita semua perlu mengadaptasi perubahan dan membiasakan perkara yang tidak biasa."

UNIVERSITI ZAHIRKAN PENGHARGAAN 

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihak Universiti mengiktiraf dan terharu dengan pengorbanan sekumpulan pejuang ini dalam memberikan yang terbaik buat semua.

Beliau menegaskan, pengorbanan mereka sungguh luar biasa kerana usaha yang dilakukan walau tampak kecil di mata, namun memberi erti yang cukup besar buat Universiti.

“Mereka harus diberikan penghargaan sewajarnya kerana di saat orang lain cemas dan panik, mereka lenyapkan perasaan sendiri demi menjaga kesejahteraan yang lain.

"Kita tahu tugas memasak, mencari bekalan, menguruskan pelajar dan sebagainya bukanlah tugas mereka kerana mereka di sana adalah dengan satu tujuan iaitu menuntut ilmu.

Namun kegigihan mereka berkorban untuk melaksanakan amanah yang digalas adalah satu usaha yang perlu diberikan perhatian, Mereka adalah hero sebenar. Saya tidak dapat mengungkap perasaan terharu dan berharap suatu hari nanti mereka akan dapat melihat keikhlasan mereka dibayar dengan kejayaan," ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pelajar USM di sana, Faisal Rafiq menegaskan, USM sentiasa memberikan keutamaan dan mengikut rapat perkembangan pelajar-pelajar perubatannya yang sedang menjalani pembelajaran secara dalam talian di sana. 

Malah, USM melalui Bilik Gerakan COVID-19 (Nerve Centre) di kampus induk hampir setiap hari mengadakan perbincangan dengan melihat kesemua aspek kesihatan, kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar di semua kampusnya termasuk kampus pesisir KLE dalam tempoh yang sukar ini.

USM turut mengakui ada desakan untuk membawa pelajar pulang namun perkara itu tertakluk kepada arahan pihak kerajaan.

USM juga menurut beliau sentiasa berhubung dengan golongan ibu bapa bagi mencari jalan terbaik untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan para pelajarnya di Belgaum, Karnataka, India.

-------------------------------------

MPP USM-KLE 2019/2020

Muhammad Syafiq bin Zamri

MEDICAL SOCIETY (MEDSOC) USM-KLE 2019/2020

Presiden:                   Zakry Mustaqim bin Yahya

Naib Presiden 1:       Nurul Fatehah binti Abdul Aziz

Naib Presiden 2:       Aizat Fahmi bin Japar

Setiausaha 1:             Nik Nurul Aisyah binti Nik Othman

Setiausaha 2:             Norfatin Sa’diyah binti Mochamad Ali

Bendahari:                 Farah Syakirah binti Japar

EXCO

Exco Sukan

* Mohamad Arif Luqman bin Mohd Sobri

* Uzma Syazwina binti Mohd Kamari

Exco Akademik

* Hirresh Sai Suria a/l Surianarayanan

* Siti Juliana binti Jafri

Exco Kebajikan

* Tengku Zharif Nazrain bin Tengku Mohd Farees

* Nur Aqilah binti Imran

Exco Korporat & Multimedia

* Mohamad Nasrullah Naim bin Mohamad Noor

* Zairul Umairah binti Zairul Isham

Exco Kesihatan

* Muhammad Fairuddin Adam bin Ramezan

* Wan Nursyaza Dalili binti Wan Mohd Khairul Azmee

Exco Kerohanian

* Ahmad Imran bin Shahrel Azmin

* Nur Fazlini binti Mohd Zulkifly

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1320

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024