USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

COVID-19: SAINS@BERTAM JADI TEMPAT OPERASI SEMENTARA PUSAT PENDERMAAN DARAH STATIK HKB

KEPALA BATAS, 21 April 2020 – Dewan Al-Azhari, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sains@bertam dijadikan Pusat Pendermaan Darah Statik Hospital Kepala Batas (HKB) berikutan penularan wabak COVID-19.

Pusat pendermaan ini mula beroperasi semalam, 20 April 2020 sehingga dimaklumkan kelak bergantung kepada keadaan semasa negara.

Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Dr. Hasni Arsad berkata, “IPPT amat berbesar hati membantu HKB menyediakan tempat untuk menjalankan pendermaan darah ini.”

1.jpg

 “Adalah menjadi tanggungjawab IPPT untuk membantu masyarakat terutamanya dalam melawan virus COVID-19 dan sentiasa bersedia membantu pada bila-bila masa,” katanya bagi pihak Pengarah IPPT.

Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan HKB, Dr. Suhaila Ismail, pihak hospital amat berterima kasih kepada pihak IPPT USM kerana sudi memberi ruang kepada pihak hospital untuk menempatkan Pusat Pendermaan Darah Statik ini.

“Kerjasama daripada pihak IPPT dalam perkara ini amat kami hargai sekaligus membantu membendung penyebaran wabak COVID-19. Buat masa ini, orang ramai boleh hadir menderma darah di sini dan tidak perlu ke HKB bagi mengelakkan terdedah kepada jangkitan COVID-19.”

“Namun begitu, penderma diingatkan supaya mengamalkan penjarakan sosial seperti yang disarankan,” katanya ketika hadir meninjau pusat pendermaan darah di sini hari ini.

Untuk makluman mereka yang berhasrat menderma darah, Pusat Pendermaan Darah Statik HKB di Dewan Al-Azhari sains@bertam beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang pada hari Isnin hingga Khamis dan 9.00 pagi sehingga 1.00 petang pada hari Jumaat.

WhatsApp_Image_2020-04-27_at_00.05.04.jpeg

 

Para penderma boleh mengisi slip perjalanan untuk menderma darah yang boleh diakses melalui laman berikut https://forms.gle/eSdcnyag1yKGMoaz5

Semoga melalui inisiatif bersama ini akan dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan darah yang dihadapi Hospital Kepala Batas seterusnya memberi keyakinan kepada orang ramai untuk tampil menderma darah di premis yang selamat.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1488

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024