USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

COVID-19: IPPT TERIMA SUMBANGAN PPE DAN PELINDUNG MUKA DARIPADA WESTERN DIGITAL

BERTAM, 22 April 2020 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menerima sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan  pelindung muka (face shield) untuk kegunaan barisan hadapan yang bertugas bagi membendung penularan wabak COVID-19 di IPPT daripada syarikat Western Digital (Malaysia) Sdn. Bhd.

WhatsApp_Image_2020-04-25_at_22.33.35.jpeg

Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata sumbangan ini memang tepat pada masanya kerana fasiliti kesihatan di seluruh negara kini menghadapi kekurangan bekalan PPE dan yang paling penting ialah untuk melindungi petugas barisan hadapan daripada terkena jangkitan virus COVID-19.

"Sumbangan yang diterima hari ini berupa 1,000 unit PPE dan 5,000 pelindung muka," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan itu di Kompleks Klinikal, di sini.

Syarikat Western Digital (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Timbalan Presidennya, Mr. KL Bock hadir untuk menyampaikan sumbangan tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk membantu IPPT dalam usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 dan diharapkan sumbangan tersebut akan dapat mengatasi masalah kekurangan PPE dan pelindung muka buat masa ini,” katanya ketika menyampaikan sumbangan. 

WhatsApp_Image_2020-04-25_at_22.33.36.jpeg

Yang turut hadir dalam majlis ialah Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Dr. Hasni Arsad; Pakar Perubatan Keluarga IPPT, Dr. Mastura Mohd Sopian; dan Pengurus Kecemerlangan Perniagaan Western Digital, Noor Shafarina Mhd Hidzir.

Untuk rekod, Western Digital (M) Sdn. Bhd. menerusi Program “WD Caring Foundation” (WDCF) yang dibiayainya pernah menyumbangkan peralatan perubatan sokongan kepada IPPT bernilai RM12,000 pada tahun 2014.

WDCF adalah salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) WD yang disokong oleh kakitangan WD dari pelbagai peringkat jawatan di dalam organisasi.

Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), IPPT USM telah disenaraikan antara 10 makmal kendalian Universiti Awam (UA) yang terpilih untuk menjalankan ujian pengesanan COVID-19.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 872

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024