USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASILKAN VENTILATOR KOS SEDERHANA BANTU PERNAFASAN PESAKIT COVID-19

NIBONG TEBAL, 23 April 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pensyarahnya, Profesor Madya Dr. Jamaluddin Abdullah daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik telah berjaya membangunkan Automated Assisted Breathing Unit (Ventilator) berkos sederhana. 

Dengan bantuan sebahagian peruntukan daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), projek tersebut dibangunkan bersama kumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta Alumni USM, dan diuji cuba di Klinik Kesihatan USM Kampus Kejuruteraan. 

Menurut pasukan tersebut, kos bagi menghasilkan satu unit ventilator itu adalah berjumlah RM3,000 berbanding harga pasaran sekitar RM30,000 bagi satu unit. 

WhatsApp_Image_2020-04-23_at_23.59.53.jpeg

“Ventilator ini berfungsi memberi bantuan pernafasan kepada pesakit secara automatik dan berterusan bagi pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di wad atau ICU.

“Ambu bag (arrow hijau) dipam untuk menyalur udara kepada pesakit melalui saluran tiub (bulatan kuning) dan proses ini dikawal oleh sistem elektronik yang turut mengawal kadar denyutan pernafasan dan isipadu udara setiap denyutan, seterusnya memaparkan kadar denyutan di skrin,” jelas JamaluddIn.

Tambahnya, pad kawalan (control pad) digunakan untuk pengguna menetapkan nilai yang sesuai untuk kadar pernafasan dan isipadu udara. 

“Ventilator ini juga turut dilengkapi ciri keselamatan yang mana jika terputus bekalan kuasa elektrik, alat ini tidak berhenti serta merta tetapi akan terus hidup selama sejam dengan sokongan bateri dan memberikan bunyi alarm untuk memberi isyarat kepada petugas kesihatan akan masalah yang berlaku.

“Apabila bekalan kuasa kembali pulih, ia juga akan secara automatik terus bekerja mengepam mengikut setting sebelum itu,” ujarnya lagi.

Produk ringan ini boleh dibawa dengan mudah dalam ambulans dan sebagainya. Setakat ini prototaip pertama telah diuji cuba di Klinik kesihatan USM Kampus kejuruteraan.

Projek ventilator tersebut juga telah disenarai pendek oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seterusnya telah dibentangkan kepada panel penilai MOSTI dan dalam peringkat penilaian akhir untuk geran khas MOSTI berkaitan COVID-19.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1469

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024