USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN HOSPITAL PULAU PINANG ANJUR PROGRAM DERMA DARAH, BANTU TINGKAT BEKALAN DARAH HADAPI COVID-19

PULAU PINANG, 21 April 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Hospital Pulau Pinang menganjurkan Program Derma Darah di kampus induk bagi membantu meningkatkan bekalan darah di hospital terutamanya untuk menampung keperluan sebarang kemungkinan menghadapi wabak COVID-19 sekiranya ia berlarutan lebih lama lagi.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bersama Pusat Sejahtera USM merupakan inisiatif barisan kepimpinan MPPUSM bagi menggerakkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan barisan hadapan negara di hospital bagi menghadapi wabak COVID-19 yang sedang melanda kini.

93973912_3002115639849449_2900676351709151232_o.jpg

Menurut Setiausaha Kerja MPPUSM, merangkap Pengarah Projek Program Derma Darah, Mohamad Alif Hamzah, inisiatif ini selain bertujuan membantu pihak hospital menambahkan bekalan darah, ia juga menggalakkan pelajar yang berada di dalam kampus yang sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk hadir meluangkan masa melakukan amal kebajikan dengan menderma darah.

“Menjadi tanggungjawab kami di barisan kepimpinan pelajar mencari idea dan inisiatif untuk menyalurkan apa jua bantuan buat negara yang sedang menghadapi cabaran serangan wabak COVID-19 ini.

“Justeru itu, saya menyeru semua pelajar dan warga kampus untuk hadir bagi menderma darah bagi tujuan tesebut,” katanya ketika ditemui di Dewan Utama Pelajar (DUP), USM.

94385114_3002112799849733_3848325129968812032_o.jpg

Mohamad Alif, pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik menambah, selain menderma darah, penderma turut diperingatkan bagi mematuhi peraturan penjarakan sosial (social distancing) dalam tempoh PKP berlangsung sekarang.

“Pihak MPPUSM juga telah menyediakan aplikasi online Google Doc. untuk pendaftaran penderma, dan di dalamnya terdapat syarat yang perlu dipatuhi sebelum hadir menderma.

“Ini bagi memastikan penderma benar-benar sihat dan tidak mengalami gejala seperti demam, selesema, sakit tekak, cirit birit, batuk serta kesukaran bernafas,” tambah Mohamad Alif lagi.

Selain itu, pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Tan Kar Ling, 24, merupakan salah seorang penderma berkata, masa terluang selama tempoh PKP yang dilalui di dalam kampus sebaik-baiknya dimanfaatkan dengan amalan kebajikan seperti menderma darah.

“Program ini sangat berguna terutamamya pada masa sekarang tatkala negara berhadapan wabak COVID-19, dan kebanyakan pesakit amat memerlukan darah, jadi menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia membantu dan salah satu bantuan yang saya mampu ini adalah dengan menderma darah,” kata Kar Ling.

Begitu juga dengan A’tirah Roslan, 22, pelajar tahun 3 juga dari Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat menyarankan semua pelajar USM yang berada di kampus mengambil peluang selama dua hari ini untuk menderma darah bagi keperluan pihak Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata sememangnya masa yang ada ini seharusnya dimanfaatkan dengan lebih baik oleh para pelajar dan salah satunya adalah seperti ini iaitu menyertai kempen menderma darah yang dianjurkan oleh pihak USM.

Dijemput semua warga USM yang masih berada di dalam kampus untuk bersama-sama menderma darah bagi menambah bekalan darah khususnya untuk kegunaan Hospital Pulau Pinang.

Hari: Selasa dan Rabu (21 April & 22 April 2020)

Masa: 9.00 pagi – 2.00 petang

Lokasi: Dewan Utama Pelajar (DUP), USM

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 857

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024