TIGA SEKAWAN ALUMNI BANTU SALUR PROTEIN LAUT KEPADA WARGA USM

USM PULAU PINANG, 20 April 2020 – Siapa sangka di musim getir dan sukar ketika ini dan dikekang pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19, tampil tiga orang sahabat yang merupakan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) kehadapan menyalurkan bantuan berbentuk protein laut kepada warga USM.

Ketiga-tiga wira ini ialah Mohd Azim Bin Ariffin merupakan Alumni Pusat Pengajian Komunikasi, Ahmad Azmer Bin Meerasa daripada Pusat Pengajian Pengurusan dan Mohamad Zul Ikmal Bin Suhaimi daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. 

3.jpg

 

Menjelaskan mengenai protein di atas, ia merupakan ikan kembung segar. Menurut mereka, ini merupakan sumbangan sesi kedua yang mana sesi pertama mereka telah datang menyalurkan bantuan buat warga USM berbentuk telur dan udang segar. 

Ditanya mengenai sumbangan yang diberikan itu, mereka menyatakan bahawa perkhidmatan tersebut adalah hasil kerjasama Fresh4u dan Selera Bonda untuk penghantaran bahan basah dan masakan.

Justeru di peringkat pemilik dan pengusaha terbabit, mereka mengambil inisiatif menyediakan bahan seperti ikan kembung, udang dan juga telur untuk meringankan beban pelajar dan juga staf USM mendapatkan sumber makanan ketika musim sukar ini.

“Diharapkan dengan sedikit bantuan ini dengan kerjasama Nerve Centre USM, ia mampu meringankan beban pelajar dan staf USM,” tegas mereka lagi. 

Sementara itu, pihak Universiti menzahirkan rasa bangga dan berterima kasih atas sumbangan dan jasa baik tiga rakan Alumni USM itu serta sokongan semua pihak yang turut serta menggembleng usaha dalam membantu meringankan beban kewangan Universiti khususnya ketika berdepan situasi sukar seumpama ini.

Sumbangan yang diterima bukan sekadar dalam bentuk kewangan, malah Universiti turut tidak putus-putus menerima bantuan fizikal seperti bekalan makanan kering, barangan kelengkapan harian, barangan penjagaan kesihatan dan sebagainya dari pelbagai pihak sejak bermulanya tempoh pelaksanaan PKP pada bulan Mac lepas.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015