USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RESPONS POSITIF, PEMBELAJARAN ONLINE USM SEMAKIN MEMBERANGSANGKAN

PULAU PINANG, 20 April 2020 – Pembelajaran secara dalam talian (online learning) sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Universiti Sains Malaysia (USM) disifatkan semakin memberangsangkan dan menerima respons positif baik di peringkat pensyarah mahu pun pelajar.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, keputusan USM untuk memulakan kembali semester dua secara online bermula awal April lalu adalah bertepatan dengan situasi yang sedang berlaku ekoran pandemik COVID-19 ini.

prof.jpg

Katanya, statistik semasa pada minggu kedua sesi pembelajaran bermula 12 April sehingga 17 April lalu memperlihatkan sejumlah 1,421 kursus online dijalankan dengan melibatkan lebih 16,000 pelajar, merangkumi 89.24 peratus penyertaan (online).

Online_elearning_web.jpg

“Sebelum sesi online dimulakan, pihak universiti telah menjalankan pelbagai inisiatif termasuk menghubungi pelajar untuk mengenalpasti tahap kebolehcapaian pelajar kepada internet untuk pembelajaran online dan mengatur strategi untuk memastikan 100% pelajar boleh mengikuti pengajian secara jarak jauh (remote learning).

“Selain itu, Universiti turut menjalankan sesi latihan kepada staf akademik untuk memberi pededahan/pengajaran/pemantapan dalam pelbagai aspek supaya staf akademik lebih bersedia untuk melaksanakan pengajaran secara jarak jauh,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak Universiti turut mengadakan pemantauan secara berterusan dan mengambil maklumbalas dari pensyarah dan pelajar untuk tujuan penambahbaikan.

Mengulas mengenai tahap kebolehcapaian akses kepada online learning, beliau berkata: “Pada kaji selidik pertama, USM menjangkakan antara 10-15% pelajar menyatakan ada masalah pencapaian internet (tiada atau lemah). 

“Oleh itu, USM telah menukar strategi supaya pembelajaran dalam talian "low bandwith" dilakukan.  Ini memerlukan sesi rakaman awal (pre-recorded) dan juga merekod semua kelas secara langsung, supaya ia dapat diberikan kepada semua pelajar.  Dengan demikian, diharapkan semua pelajar sudah boleh mengikuti pembelajaran dalam talian.”

“Malah pihak Universiti juga mengambil inisiatif untuk menghubungi beberapa pembekal rangkaian telekomunikasi (Telco) utama di seluruh negara agar dapat menjalin kerjasama yang membolehkan akses pelajar kepada laman ‘e-learning USM’ menerusi telefon pintar dipertingkatkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut menzahirkan penghargaan Universiti kepada semua pihak yang terlibat dan memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan pengajaran secara dalam talian, sekaligus menyelamatkan semester kedua sesi pengajian (SA 2019/2020) di kesemua kampus USM termasuk kumpulan pelajar perubatan yang mengikuti program perubatan antarabangsa di kampus USM-KLE, Belgaum, Karnataka, India.

“Saya yakin setiap pensyarah telah cuba untuk menyesuaikan keadaan sebaik mungkin, dan harapan saya agar semua pelajar akan dapat melalui proses pembelajaran dengan baik.

“Kita juga berharap agar semua pihak dapat meneruskan usaha memberikan pengalaman pembelajaran terbaik kepada pelajar kita,” ujar beliau.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto & Infografik: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 918

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024