PIPPA SALUR DANA RM30,000 RINGANKAN BEBANAN PUSAT SEJAHTERA
PULAU PINANG, 17 April 2020 – Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 bagi membantu Pusat Sejahtera USM menguruskan pandemik COVID-19 di peringkat kampus.
Pengarah PIPPA, Dr. Musa Ali berkata, sumbangan yang disalurkan adalah untuk membantu petugas barisan hadapan USM itu membeli peralatan yang diperlukan bagi menguruskan wabak berkenaan, selain memberi perlindungan dan menjaga kesejahteraan para petugas.
Musa berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6,300 akan digunakan untuk membeli ‘material’ bagi menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi memenuhi keperluan kritikal Pusat Sejahtera.
“Kami mensasarkan sebanyak 1,000 helai gaun perlindungan dapat dihasilkan daripada ‘material’ sepanjang 2,000 meter.
“PIPPA turut mendapatkan kerjasama sukarelawan dalam kalangan warga pesara USM dari Kelab Jasa Budi yang sudi menyumbang tenaga menjahit PPE berkenaan,” ujar Musa yang juga Pendaftar USM.
Beliau turut berkata, sejumlah RM8,000 pula diperuntukkan bagi penyediaan Kaunter Pengambilan Ubat Pandu Lalu (drive through dispensing medication booth) yang disifatkan dapat mempermudahkan urusan pengambilan ubat-ubatan oleh pesakit tanpa perlu ke farmasi seperti kaedah sebelumnya.
“Dana yang disumbangkan termasuk dengan kos penghantaran bahan dan pemasangan, termasuk unit penghawa dingin dan sebagainya,” ujarnya sambil memberitahu jumlah sumbangan yang selebihnya iaitu RM15,700 akan digunakan oleh Pusat Sejahtera untuk sebarang urusan lain yang dikenalpastinya.
“Sumbangan ini adalah tanggungjawab sosial PIPPA dalam membantu semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mendepani kemelut menguruskan pandemik yang bukan sekadar dirasai di negara ini, malah di seluruh dunia,” ujar beliau lanjut.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 748