WARGA USM SEPAKAT SEDIAKAN PPE PENUHI KEPERLUAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 April 2020 – Sejak wabak COVID-19 melanda negara, isu kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sangat diperlukan oleh petugas kesihatan hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak.
Keperluan itu mendorong sekumpulan sukarelawan dari Unit Kawalan Jangkitan Dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berganding bahu menjahit PPE untuk kegunaan petugas perubatan di Hospital USM.
Pegawai Perubatan, UKJEH Hospital USM, Dr. Fauziah Ismail berkata, idea untuk menjahit PPE ini tercetus apabila melihat keperluan penggunaan mendesak oleh petugas perubatan di Hospital USM yang bertanggungjawab melakukan saringan serta pemeriksaan pesakit COVID-19 sedangkan bekalan sedia ada tidak dapat menampung apabila syarikat pembekal tidak dapat membekalkannya sebagaimana biasanya.
Kerja menjahit bermula 15 Mac lalu, dan untuk ‘batch’ pertama sebanyak 150 helai pelindung kepala atau ‘hood cover’ berjaya dihasilkan menggunakan bahan yang sama seperti yang digunakan petugas hospital iaitu bahan kalis air seperti kertas serta plastik, dan usaha kemudiannya diteruskan untuk menjahit ‘isolation gown’,” jelasnya.
“Hasilnya sejumlah 200 set PPE dibekalkan kepada petugas kesihatan Hospital USM untuk kegunaan sehari antaranya Wad ‘severe acute respiratory infections’ (SARI), Jabatan Trauma dan Kecemasan serta lain-lain klinik yang terlibat dengan saringan serta perawatan pesakit COVID-19.
“Harga untuk satu set lengkap PPE bernilai RM250 tetapi apabila dijahit sendiri ianya menjimatkan apatah lagi UKJEH turut menerima sumbangan dari pelbagai pihak antaranya berbentuk kewangan, peralatan malahan ramai dalam kalangan staf, pelajar serta pesara USM sendiri yang turun padang bersama-sama dalam menyediakan PPE ini,” ujarnya lagi.
Menurut Fauziah, setiap petugas yang merawat pesakit COVID-19 hanya boleh memakai PPE bagi tujuan merawat seorang pesakit sahaja dalam satu masa dan selepas itu ia perlu ditukar dengan sut lengkap yang baharu sekiranya mahu merawat pesakit yang lain.
“Maka disebabkan itulah, PPE menjadi keperluan utama di semua hospital seluruh negara, bukan di Hospital USM sahaja,” katanya.
Fauziah turut berkongsi maklumat berguna yang lain berkenaan PPE, seperti berikut:
- Satu set lengkap PPE terdiri daripada pelindung badan, pernafasan, tangan, kaki, mata, kepala dan telinga; dan ia memberi perlindungan dengan membantu mencegah mikroorganisma daripada mencemarkan anggota badan tersebut dan agar tidak tersebar kepada pesakit dan petugas kesihatan lain.
- Penggunaan PPE merupakan pendekatan yang paling biasa dipraktikkan di tempat kerja.
- Bagaimanapun, penggunaan PPE diklasifikasikan sebagai langkah terakhir kawalan untuk jangkitan, hanya terhad dalam melindungi atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko kepada jangkitan yang akan dialami oleh petugas barisan hadapan apabila berhadapan dengan pesakit yang mempunyai gejala COVID-19.
- Individu yang memakai PPE perlu berhati-hati ketika memakai pakaian khas itu kerana sekiranya rosak atau terkoyak, ia boleh mendatangkan bahaya. Atas dasar itu, ia mempunyai tata cara dan teknik pemakaian khusus bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.
- PPE yang belum digunakan perlu disimpan di dalam almari atau kotak simpanan dan dipastikan semua peralatan bersih serta dalam keadaan baik sebelum digunakan.
- Selain itu, jadual penyelenggaran atau penggantian PPE perlu disediakan untuk mengelakkan kerosakan.
Teks: Mohamad Hairol Rasli & Wan Salizawati Wan Ismail/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 786