USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAKITANGAN GANDING BAHU SUMBANG RM1.51 JUTA KE TABUNG COVID-19 USM

USM PULAU PINANG, 17 April 2020 – Kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) berganding-bahu mendepani kemelut pandemik COVID-19 dengan menyalurkan sumbangan sehingga RM1.51 juta ke Tabung Sumbangan COVID-19 USM sehingga semalam.

WhatsApp_Image_2020-04-17_at_05.41.41.jpeg

Tabung berkenaan yang julung kali dilancarkan adalah inisiatif Universiti dalam menyediakan perbelanjaan luar jangka ekoran krisis pandemik yang bukan sekadar dirasai di negara ini, malah di peringkat global.

Inisiatif itu disifatkan mendapat respons positif dalam kalangan kakitangan USM yang mana, rata-ratanya secara sukarela membuat potongan gaji selama tiga bulan bermula April hingga Jun 2020 mengikut kadar yang dicadangkan berdasarkan kategori kakitangan daripada Profesor hingga kakitangan Pelaksana.

Kakitangan turut diberi pilihan untuk memilih potongan gaji bagi bulan-bulan tertentu dan mengikut jumlah lain selain dari yang dicadangkan.

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban pelajar dan kakitangan USM yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini.

Tambahnya, dana itu juga turut digunakan untuk menampung sebahagian kos pembelian peralatan perlindungan diri dan kesihatan untuk para petugas barisan hadapan USM.

“Kita amat terharu dengan keprihatinan dan kesanggupan kakitangan USM di pelbagai peringkat yang secara sukarela membuat potongan gaji untuk membantu Universiti dalam menguruskan krisis ini, malah ada yang menyumbang lebih daripada kadar yang dicadangkan.

“Daripada data yang dikumpul setakat ini, didapati setiap dua daripada tiga kakitangan bersetuju untuk menyumbang kepada Tabung ini, dan pihak Universiti amat berterima kasih dan menghargai pengorbanan setiap dari warganya yang bersama-sama membantu menangani krisis COVID-19 dalam segala aspek,” ujar beliau.

Pihak Universiti turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dan Bahagian Sumber Manusia (BSM) serta Jabatan Bendahari yang merealisasikan inisiatif ini yang dianggap julung kali dilaksanakan oleh sebuah universiti awam di negara kita bagi menangani krisis sebesar ini.

Dalam pada itu, Tabung Sumbangan COVID-19 USM yang mula dilancarkan pada Mac lalu sehingga kini telah menerima sejumlah RM3.88 juta secara keseluruhan, merangkumi sumbangan dari pelbagai pihak termasuk individu, syarikat, alumni dan sebagainya.

Pihak Universiti menzahirkan rasa bangga dan berterima-kasih atas sokongan semua pihak yang turut serta menggembleng usaha dalam membantu meringankan beban kewangan Universiti khususnya ketika berdepan situasi sukar seumpama ini.

Sumbangan yang diterima bukan sekadar dalam bentuk kewangan, malah Universiti turut tidak putus-putus menerima bantuan fizikal seperti bekalan makanan kering, barangan kelengkapan harian, barangan penjagaan kesihatan dan sebagainya dari pelbagai pihak, baik warga kampus mahu pun luar kampus terutamanya mereka yang tinggal berdekatan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 750

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024