TABUNG PRIHATIN COVID-19: HOSPITAL USM TAMPUNG KEPERLUAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 April 2020 – COVID-19 yang melanda dunia dan Malaysia khususnya banyak mengajar erti kehidupan bermasyarakat agar tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira batas dan sempadan.
Menyedari hakikat tersebut, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mewujudkan ‘Tabung Prihatin COVID-19 Hospital USM’ bertujuan menyelaras bantuan kepada warga kerja Hospital USM dalam menyediakan makanan, membeli bahan pakai buang serta keperluan perubatan lain yang diperlukan untuk perawatan dan penjagaan pesakit.
Menurut Timbalan Pendaftar Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am Hospital USM, Mohd Saberi Mohd Yusoff, tabung ini diwujudkan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Hospital USM seperti Pegawai Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Pembantu Perawatan Kesihatan, Pengawal Keselamatan dan staf lain yang terlibat.
"Pada peringkat awal tabung ini diwujudkan, USM Kampus Kesihatan mengunakan bajet pengurusan dan sumber dalaman sebelum promosi untuk menggalakkan masyarakat menderma diwar-warkan melalui poster yang dimuat naik dalam laman sesawang Hospital USM.
"Kini, semakin banyak sumbangan yang diterima dari pihak luar seperti syarikat swasta, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan selain turut berusaha mendapatkan peruntukan tambahan melalui Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan," ujarnya ketika ditemubual.
Saberi berkata, Hospital USM sangat mengalu-alukan sumbangan berbentuk kewangan, makanan, bahan pakai habis, peralatan perlindungan diri (PPE) dan semua sumbangan dipusatkan di Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am.
"Semua sumbangan dikawal selia oleh unit ini sebelum membuat agihan kepada petugas barisan hadapan mengikut senarai jabatan dan unit terlibat, seperti Jabatan Kecemasan dan Trauma, wad-wad yang terlibat merawat pesakit COVID-19, Klinik Rawatan Keluarga dan sebagainya.
"Bermula 4 April lalu, makanan untuk petugas barisan hadapan juga disediakan oleh Unit Permakanan dan Dietetik Hospital USM bagi menjaga kebersihan dan mengelak keracunan makanan," jelasnya lagi.
Selain itu, sumbangan tabung ini juga digunakan untuk menampung bekalan makanan kepada para pelajar USM Kampus Kesihatan, yang mana mereka dibekalkan dengan kupon makanan untuk membeli makanan di kafeteria yang terdapat di dalam kampus dan kos perbelanjaan setiap hari diangarkan berjumlah RM1,000 hingga RM2,000 bergantung kepada keadaan semasa.
Tambah Saberi, Hospital USM juga memerlukan dana yang besar untuk menghadapi pandemik COVID-19 dalam usaha mengatasi kekurangan peralatan perubatan seperti PPE, sarung tangan getah (glove), 'hand sanitizer', peralatan pakai buang dan sebagainya yang menjadi keperluan utama petugas perawatan.
"Semoga orang ramai dan masyarakat di luar sana terus menghulurkan sumbangan kerana kita semua tidak tahu bila akan berakhirnya wabak COVID-19 ini.
Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun: 9898 6201 3001 21 (CIMB Bank Berhad) atas nama Universiti Sains Malaysia.
"Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi saya di talian 09-7673009/017-9243123 atau hubungi Encik Azaharuddin di talian 09-7673010 /019-9547464," katanya.
Teks: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 652