‘HOSPITAL USM COVID TASKFORCE’ SARING WARGA BERISIKO DAN SEDIA BANTU KKM
USM KUBANG KERIAN, 14 April 2020 – Hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa II membuka satu lagi lembaran baharu bagi Universiti Sains Malaysia (USM) apabila ‘Hospital USM COVID Taskforce’ melakukan sendiri saringan COVID-19 terhadap petugas perubatan dan kesihatan.
Keberadaan Hospital USM sebelum ini dalam senarai sebagai salah sebuah makmal yang melakukan ujian pengesanan COVID-19 membuktikan betapa USM turut memainkan peranan penting dalam menangani wabak ini bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Dr. Alwi Muhd Besari@Hashim, USM sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM dalam menangani isu COVID-19 termasuklah dalam ujian saringan.
“Kita memahami kekangan yang dihadapi oleh hospital serta klinik kesihatan KKM dan disebabkan itulah USM mengambil inisiatif melakukan saringan sendiri ke atas petugas perubatan dan kesihatan yang berisiko dijangkiti SARS CoV2, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.
"Seramai 35 orang telah melakukan saringan dan mereka memberikan kerjasama serta sokongan yang penuh walaupun dimaklumkan dalam jangka masa yang singkat untuk datang membuat saringan pada hari ini.
“Proses penyaringan dilakukan dengan penuh teliti dan mematuhi semua syarat serta aspek keselamatan seperti yang telah ditetapkan dan semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya.
Menurut Alwi lagi, sampel yang diambil akan diuji di Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Hospital USM yang telah diiktiraf mempunyai fasiliti setaraf Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan hal ini merupakan kelebihan apabila melakukan saringan sendiri kerana keputusan ujian dapat diperolehi dalam masa yang singkat antara enam (6) hingga 20 jam bergantung kepada beberapa aspek teknikal terutamanya masa sampel tersebut diterima oleh para petugas di makmal.
Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang terlibat dalam proses penyaringan ini khususnya ‘Hospital USM COVID Taskforce’ yang menjadi petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan COVID-19 khususnya di Kampus Kesihatan.
"Sebagai sebuah hospital pengajar, Hospital USM sentiasa bersiap sedia membantu KKM dalam menghadapi wabak pandemik sebegini dan menggalas tanggungjawab memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Dalam situasi yang sedang melanda ini, Hospital USM telah mengambil beberapa pendekatan seperti menerima pesakit selain pesakit COVID-19 dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mengurangkan bilangan pesakit dan memberi ruang yang lebih kepada mereka untuk fokus kepada perawatan pesakit COVID-19 di samping menerima kes-kes bukan COVID-19 yang dirujuk oleh hospital-hospital daerah yang lain," katanya.
Tambah Sukari, Hospital USM juga turut menghantar Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan serta Juruteknologi Makmal Perubatan untuk membantu HRPZ II dalam proses saringan, ujian pengesanan dan perawatan pesakit.
"Wabak COVID-19 merupakan satu wabak yang liar menyerang tanpa belas kasihan akan tetapi dengan keyakinan dan kesungguhan kita semua, tidak mustahil untuk kita menang dalam pertarungan ini," jelasnya lagi.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
- Created on .
- Hits: 819