USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MINTA PELAJAR TERUS BERADA DALAM KAMPUS ZAHIR KOMITMEN BANTU USAHA BARISAN HADAPAN DAN MKN HADAPI COVID-19

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya mendoakan agar semua pelajar berada dalam keadaan yang baik, kekal bersemangat dan bersatu hati menghadapi keadaan yang berlaku akibat wabak COVID-19 sekarang. Universiti bersyukur dan berbangga atas sokongan dan kerjasama semua pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan. Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam mengikuti pembelajaran atas talian yang telah bermula sejak 5 dan 6 April 2020.

WhatsApp_Image_2020-04-09_at_20.50.50.jpeg

Seperti yang kita sedia maklum, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan pada 11 April 2020, yang menyarankan semua pelajar yang masih berada di kampus untuk TIDAK dihantar pulang ke kampung masing-masing buat masa ini. Sehubungan itu, Universiti memohon semua pelajar mematuhi peraturan dan keperluan sedia ada dengan kekal berada di dalam kampus manakala mereka yang berada di kampung, tidak dibenarkan memasuki kampus. 

Jika terdapat pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkuasa untuk para pelajar boleh meninggalkan kampus semasa PKP masih berjalan atau selepas PKP dimansuhkan, USM menggalakkan para pelajar untuk terus tinggal di dalam kampus terutamanya bagi pelajar yang akan menghadapi kesukaran untuk mengikuti pembelajaran di atas talian.  Namun sekiranya terdapat juga pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman, pihak USM tidak bercadang untuk menyediakan sebarang perkhidmatan bas khas untuk menghantar mereka pulang buat masa ini. USM juga tidak akan menanggung sebarang kos pengangkutan bagi mereka yang pulang menaiki pengangkutan sendiri.

Adalah wajar peraturan sedia ada dipatuhi demi kepentingan masyarakat dan negara dengan menyokong usaha gigih yang dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghadapi isu ini.

Universiti sentiasa mengikuti secara dekat malah memahami perasaan pelajar dan ibu bapa dalam menghadapi situasi ini sama ada di desasiswa mahu pun yang berada di luar kampus. Universiti berusaha sebaik mungkin membantu setiap pelajar agar selesa, disajikan makanan yang baik dan mempunyai keperluan mencukupi supaya berupaya menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara inklusif terutamanya secara atas talian sebaik mungkin.

Malah USM menyediakan khidmat sokongan yang terdiri daripada para pensyarah dan profesional yang dapat memberi bantuan e-kaunseling kepada mana-mana pelajar yang memerlukan khidmat tersebut.

USM meletakkan kepentingan masyarakat dan negara mengatasi yang lainnya  tanpa mengambil ringan sebarang risiko yang ada.

Terima kasih.

PROFESOR DR. ALDRIN ABDULLAH 

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia 

  • Created on .
  • Hits: 727

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024