UBAH CARA KERJA, PASTIKAN SEKTOR AWAM KEKAL RELEVAN
Lazimnya rutin kerja sebagai kakitangan awam, seseorang itu akan ke pejabat awal pagi. Bekerja pula mengikut waktu pejabat ditetapkan dan kebanyakan masih menggunakan kaedah manual dalam menguruskan proses kerja seharian.
Namun, COVID-19 mengubah itu semua setidak-tidaknya untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Usaha mengekang penyebaran COVID-19 memperlihatkan betapa pentingnya kakitangan awam di Malaysia. Ia bukan sahaja merangkumi kakitangan Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus merawat pesakit di hospital, tetapi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia.
Tidak hairanlah kerajaan mengumumkan elaun khas untuk petugas barisan hadapan dari sektor kesihatan dan petugas lain yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan PKP.
Namun, kakitangan awam di Malaysia bukan sekadar bertugas di sektor kesihatan dan keselamatan, sebaliknya ramai lagi seperti di jabatan Kerajaan Persekutuan, negeri, kerajaan tempatan dan badan berkanun.
Krisis COVID-19 memaksa pengurusan organisasi dalam semua sektor pada peringkat global termasuk sektor awam di Malaysia untuk membangun dan meningkatkan dasar serta prosedur membenarkan kakitangan bekerja dari rumah.
Ia bukan baharu dalam mengurus sumber manusia, sebaliknya diamalkan dalam organisasi tertentu terutama di negara maju.
Penulis sendiri pernah bekerja dari rumah sebagai perunding sumber manusia sambilan dengan sebuah agensi ketika belajar di Australia. Malah ketika ini pun, ada rakan strategik Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) yang mana Ketua Pegawai Eksekutifnya hanya datang ke pejabatnya di London tiga hari dalam sebulan, manakala selebihnya bekerja dari rumahnya di Dundee, Scotland.
Namun, bekerja dari rumah belum menjadi satu budaya diterima kebanyakan majikan di negara kita, apatah lagi sektor awam yang terkenal dengan pelbagai kerenah birokrasi untuk melaksanakan inisiatif seperti itu.
Namun, wabak COVID-19 menyebabkan bekerja dari rumah terpaksa dilaksanakan untuk mengekang pergerakan dan mengawal penyebaran wabak.
Sekarang kita tidak lagi janggal mengguna atau mendengar istilah bekerja dari rumah, mesyuarat atas talian, pembayaran dalam talian dan tandatangan digital.
Dalam sektor pendidikan pula sering digunakan istilah seperti kelas maya, pembelajaran dan pengajaran atas talian serta peperiksaan atas talian yang menggunakan pelbagai aplikasi.
Namun, kajian semula terhadap beberapa dasar pengurusan sumber manusia serta prosedur perlu dilakukan. Umpamanya, deskripsi tugas perlu diubah suai agar selaras kriteria diperlukan untuk bekerja dari rumah.
Pihak pengurusan organisasi awam perlu mengkaji kemudahan internet di rumah dan peralatan sokongan diperlukan kakitangan untuk bekerja dari rumah.
Perlu juga kajian semula dasar berkaitan kaedah pemantauan prestasi, kehadiran bekerja dan kaedah pengiraan cuti tahunan.
Organisasi yang merancang melaksanakan kaedah ini juga perlu memikirkan tentang keselamatan, kesihatan dan emosi kakitangan kerana bekerja dari rumah secara langsung akan menyebabkan kakitangan kurang interaksi sosial sesama rakan jabatan mahupun masyarakat.
Sebagai permulaan mungkin boleh dilaksanakan dengan dua hari dalam seminggu bekerja dari rumah, manakala tiga hari perlu ke pejabat. Jika dirancang dan dipantau dengan baik ada pelbagai kelebihan seperti mengurangkan kesesakan jalan raya dan dapat mengurangkan kos operasi jabatan.
Bagi kakitangan pula, ia membantu mengurangkan kos pengangkutan, menguruskan keluarga dengan lebih baik dan mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Namun, tidak semua skim dalam perkhidmatan awam Malaysia boleh dibenarkan bekerja dari rumah. Justeru, ketua jabatan perlu mengenal pasti jawatan dan jenis pekerjaan sesuai.
Walaupun setakat ini, inisiatif bekerja dari rumah hanya dibenarkan dalam tempoh PKP, dijangkakan peratusannya akan meningkat selepas pulihnya wabak COVID-19, terutama untuk menyokong usaha penjarakan sosial dan mengelak perhimpunan ramai.
Justeru, sektor awam perlu membuat persediaan membolehkan bekerja dari rumah menjadi salah satu cara mekanisme yang dibenarkan selepas COVID-19.
Artikel: Berita Harian 9 April 2020
Penulis: Dr. Musa Ali, Pendaftar USM & Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), USM
- Created on .
- Hits: 836