SUMBANG KEPAKARAN DIMILIKI KEPADA STAF BAHARU – NC
PULAU PINANG, 12 Mac 2013 – “Saya menyeru buat bakal pesara yang sekian lama menabur bakti di Universiti agar dapat menyumbang segala ilmu dan kepakaran dimiliki demi memastikan kesinambungan tugas untuk generasi baharu sentiasa berada di tahap yang diinginkan.”
Itu yang disuarakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Omar Osman yang mengharapkan bakal pesara bersedia mencurahkan segala pengalaman sedia ada untuk diteruskan oleh kakitangan baharu.
Pada ucapan beliau di majlis Pra Persaraan Staf Universiti Sains Malaysia hari ini, Omar berkata bakal pesara harus melatih sepenuhnya staf baharu yang bakal memikul tugas tersebut bagi mengelakkan sebarang masalah di masa hadapan.
“Apabila kita akan meninggalkan tugas yang diamanahkan sekian lama, haruslah ditinggalkan tugas tersebut bersesuaian dengan tenaga baharu yang bakal mengambil alih agar produktiviti terbaik sentiasa dikekalkan” ucapnya ketika merasmikan majlis tersebut di Kompleks Cahaya Siswa hari ini.
Turut bersama pada majlis tersebut adalah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Amir Awang, Presiden Kelab Jasa Budi USM dan Pn. Siti Zubaidah A.Hamid, Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM).
Selain itu Omar turut menyeru Kelab Jasa Budi USM agar dapat menyediakan program membantu staf dari segi persediaan selepas bersara terutamanya aspek penjagaan kesihatan, ekonomi dsbnya.
Pada majlis tersebut seramai 163 bakal pesara pada tahun 2015 pelbagai peringkat jawatan hadir bagi mengetahui sedikit sebanyak maklumat dan faedah persaraan yang bakal diperoleh, termasuk persediaan awal dalam pelbagai aspek sebelum menempuh alam persaraan. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2046