USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWA USM SUMBANG TENAGA HASILKAN PELINDUNG MUKA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 April 2020 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) mengambil inisiatif untuk menghasilkan pelindung muka (faceshield) bagi membantu petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi wabak COVID-19 di Hospital USM.

Seramai 73 orang sukarelawan terdiri daripada pelajar tahun satu hingga lima berganding bahu menyiapkan salah satu keperluan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang digunakan oleh petugas kesihatan ketika merawat pesakit.

Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar USMKK, Nur Azlina Adris berkata, melalui projek #KAMIPRIHATIN gandingan Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani dengan sokongan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, serta Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (P3U), mereka menyasar untuk menghasilkan 1,000 unit pelindung muka dalam tempoh tiga hari meliputi pencarian sukarelawan, pengumpulan bahan-bahan dan proses penghasilan.

"Namun, disebabkan kekurangan bahan keperluan yang menjadi kekangan untuk melaksanakan projek dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditangguhkan sementara dan akan disambung semula apabila bahan yang diperlukan dapat disediakan nanti.

"Hari ini, sebanyak 400 unit telah diserahkan kepada Penyelaras, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) Hospital USM,  Profesor Madya Dr. Siti Suraiya Md Noor," jelasnya.

Tambah Azlina, baki sebanyak 600 unit lagi akan diselesaikan dalam tempoh terdekat dan akan diagihkan kepada pusat kesihatan serta hospital lain yang memerlukan.

"Untuk fasa seterusnya, kami dalam perancangan membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan Hospital USM untuk menyediakan 200 unit pelindung kasut dan jubah isolasi yang juga digunakan petugas kesihatan dalam menangani wabak COVID-19.

"Saya berasa amat terharu atas sokongan para pelajar yang sudi tampil sebagai sukarelawan kerana usaha memanfaatkan masa dan tenaga dalam tempoh PKP ini sedikit sebanyak mampu memberi sumbangan sekaligus menunjukkan kami bersama mereka (petugas barisan hadapan) dalam perjuangan krisis COVID-19," ujarnya lagi.

Teks: Mirawaty Mat Ghani & Nur Azlina Adris/Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Nordina Ahmat

  • Created on .
  • Hits: 623

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024