USM HASILKAN TEROWONG PENYAHVIRUS AUTOMATIK BERKOS RENDAH
PULAU PINANG, 5 April 2020 - Menyedari kepentingan melindungi frontliners kesihatan ketika berdepan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan Terowong Penyahvirus Automatik Berkos Rendah.
Dekan PPKEE merangkap Ketua Projek, Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain berkata, idea untuk menghasilkan alat berkenaan tercetus setelah pihaknya menerima permintaan dari frontliners kesihatan USM di Pusat Sejahtera untuk mendapatkan kemudahan berkenaan bagi membantu memberikan perlindungan kepada mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan.
Beliau berkata, dengan kepakaran bidang elektronik yang ada di PPKEE, terowong berkenaan direkabentuk lengkap dengan pengesan sonar bagi membolehkan ia mengesan objek yang melaluinya.
Tambah beliau, terowong automatik ini turut dilengkapi dengan pengesan suhu badan tanpa sentuh berasaskan IoT dan dispenser sabun automatik, sinki pili air dan pengering tanpa sentuh. Peralatan ini amat sesuai digunakan oleh frontliners untuk membasmi virus/bakteria setelah selesai menjalankan tugas mereka.
"Kita bangunkan produk novel ini menggunakan segala sumber dan komponen yang ada di PPKEE memandangkan kesukaran mendapatkan bahan pembuatan ekoran kebanyakan kedai perkakasan ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," ujarnya.
Fadzil Ain menambah, walaupun prototaip produk ini adalah untuk diletakkan di pusat-pusat kesihatan USM, namun ia juga sesuai ditempatkan di lokasi lain yang berisiko termasuk hospital, klinik-klinik kesihatan, balai polis dan di universiti-universiti yang pada jangkaannya akan menerima kemasukan pelajar sebaik tempoh PKP ditamatkan.
"Produk ini juga amat sesuai untuk menyahvirus pesakit yang datang membuat rawatan di klinik dan hospital. Ia bukan sekadar pintar, malah dapat mengurangkan bebanan frontliners untuk melakukan proses menyahvirus secara manual yang sememangnya memenatkan khususnya untuk bilangan yang ramai," ujar beliau lagi.
Tambahnya, kos bagi setiap terowong adalah dalam sekitar RM1,500 dan ia boleh dibuat dalam skala yang besar dan cepat memandangkan bahan yang digunakan boleh didapati di kedai-kedai perkakasan setempat.
Buat masa ini, kos penghasilan prototaip adalah sumbangan persendirian dari ketua projek sendiri serta dana daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM USM).
Turut serta dalam pasukan pembuatan terowong berkenaan ialah Profesor Madya Dr. Muhammad Nasiruddin Mahyuddin, Dr. Wan Amir Fuad Wajdi Othman, Suardi Kaharuddin, Shahidan Shafie dan Mohd Hisham Mamat Yusuf.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 634