USM HASILKAN HAND SANITIZER, LIMAU PURUT ANTARA BAHAN UNIK
USM PULAU PINANG, 4 April 2020 – Umum mengetahui permintaan tinggi terhadap hand sanitizer khususnya ketika negara berdepan penularan wabak pandemik COVID-19 menyebabkan bahan tersebut sukar didapati dalam pasaran ekoran kehabisan stok.
Menyedari hakikat itu dan memberi respons, Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif untuk memformulasikan hand sanitizer tersendiri yang unik dan memenuhi standard serta piawaian khusus bagi membunuh virus/bakteria pada permukaan kulit.
Lebih unik, limau purut (kaffir lime) turut digunakan sabagai bahan wangian dalam formula berkenaan, menjadikan ia berbau lebih segar, selain tidak melekit, serta turut dicampur dengan bahan pelembap bagi mengelak berlakunya kesan kekeringan kulit jika digunakan dengan kerap.
Pensyarah PPSF, Dr. Amirah Mohd Gazzali yang turut terlibat dalam projek itu berkata, idea asal untuk menghasilkan hand sanitizer USM disuarakan oleh Dekan PPSF, Profesor Dr. Habibah A. Wahab dan ia direalisasikan melalui sokongan penuh dari pelbagai pihak termasuk Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
"Pasukan kami terdiri daripada lima orang staf akademik, dua kakitangan makmal dan dua pelajar pascasiswazah PPSF.
“Sehingga kini kami telah berjaya menghasilkan lebih 140 liter hand sanitizer dalam tempoh dua hari untuk diagihkan kepada komuniti USM bagi menggalakkan amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri," katanya.
Mengulas lanjut ujarnya, hand sanitizer itu dihasilkan mengikut standard yang diperlukan untuk membunuh virus/bakteria berdasarkan kajian sedia ada, iaitu mengandungi sekurang-kurangnya 65% alkohol – ethanol (ethyl alcohol).
Tambah beliau, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial PPSF untuk sama-sama membantu meringankan beban dan keperluan komuniti USM dalam tempoh sukar seumpama ini.
"Kami turut berharap orang ramai khususnya warga USM sentiasa peka dengan perkembangan semasa daripada pihak kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan USM khususnya.
"Jaga kesihatan dan kebersihan diri, amalkan penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan dan bawa sanitizer ke mana-mana anda pergi," ujar beliau lanjut.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 921