USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PRIHATIN TERHADAP PELAJARNYA DI INDIA, KESELAMATAN DAN KEBAJIKAN JADI KEUTAMAAN

PULAU PINANG, 6 April 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa memberikan keutamaan dan mengikut rapat perkembangan pelajar-pelajar perubatannya yang sedang mengikuti Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE di Belgaum India semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 di India.

WhatsApp_Image_2020-04-09_at_11.05.50_1.jpeg

Malah, USM melalui Bilik Gerakan COVID-19 (Nerve Centre) hampir setiap hari mengadakan perbincangan dengan melihat kesemua aspek kesihatan, kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar di semua kampusnya termasuk kampus pesisir KLE dalam tempoh yang sukar ini.

USM turut mengakui ada desakan untuk membawa pelajar pulang namun perkara itu tertakluk kepada arahan dan saranan Wisma Putra seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaffar, iaitu pelajar yang berada di mana-mana negara supaya kekal berada di kampus pengajian mereka masing-masing di negara tersebut dan mengikuti arahan semasa pihak berkuasa tempatan di sana.

Merujuk kepada kenyataan Wisma Putra itu juga, sebarang perjalanan pulang ke negara asal dalam tempoh 'lockdown' dan ketika wabak pandemik ini sedang menular dengan pantas akan hanya meningkatkan risiko, bukan sekadar dijangkiti malah berdepan kemungkinan terkandas tanpa sokongan perubatan yang baik dan sebagainya.

Selain berhubung terus dengan wakil-wakil pelajar USM di KLE untuk mengetahui keadaan semasa dan keperluan pelajar, pihak USM turut berkomunikasi rapat dengan pelbagai agensi  berkaitan termasuk Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Chennai serta Education Malaysia (EM) di sana untuk menjamin kesejahteraan pelajar-pelajar.

Pihak USM juga sedang menyiap-sediakan satu pasukan khas untuk diterbangkan ke India sebaik sahaja tamatnya perintah berkurung tersebut atau jika dibenarkan pihak berkuasa dan mendapat peluang untuk memasuki India menerusi kaedah-kaedah alternatif.

Pun begitu, secara kesimpulannya USM sentiasa prihatin dan mengambil berat hal ehwal pelajar di kesemua kampusnya dan berharap para ibu bapa dapat memberikan kepercayaan dan sama-sama memberi sokongan antara satu sama lain dalam menempuh situasi tidak dijangka ini.

Nota Tambahan:

KLE atau “Karnataka Lingayat Education” Society bertempat di Belgaum, Karnataka, India ditubuhkan dengan tujuan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pendidikan yang luas di kawasan utama Karnataka dan Selatan Maharashtra. Selama lebih 9 dekad menceburi bidang pendidikan, University KLE dan Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC) merupakan satu konsortium yang besar yang diiktiraf oleh Kementerian Pembangunan Sumber Manusia, India. JNMC di bawah naungan KLE University turut diiktiraf oleh Majlis Perubatan India dan juga Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta tersenarai dalam W.H.O. Directory of World Medical Institution.

Pengurusan Tinggi

  • Pengerusi, Board of Management KLE Society, Belgaum, India:
  • Pengarah: Dr. H. B. Rajasekha
  • Timbalan Dekan USM-KLE IMP Belgaum: Professor Dr. Kamarudin Jaalam
  • Created on .
  • Hits: 844

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024