OPERASI COVID-19: 420 PELAJAR KAMPUS KEJURUTERAAN TERIMA SUMBANGAN I-INFAQ
NIBONG TEBAL, 3 April 2020 – Seramai 420 pelajar di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang masih menginap di dalam kampus menerima sumbangan I-Infaq sempena Operasi COVID-19 di Perkarangan Kafeteria Lembaran, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) pada hari ini.
Sumbangan kepada enam orang wakil pelajar yang hadir disampaikan oleh Mohd Sharmizan, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr. Mansor Othman, sambil diiringi oleh Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.
Mewakili Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Sharmizan dalam ucapannya menyatakan rasa kagum dengan semua pelajar kampus terlibat yang menerima dengan tenang dan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020 di seluruh negara ini.
Berikutan penularan wabak COVID-19, pelajar-pelajar tersebut dan 90 orang pelajar Kampus Kejuruteraan yang tinggal di luar kampus masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing dan perlu bertahan sehingga tamat tempoh PKP yang akan dimaklumkan kelak.
Nor Azazi pula menggesa agar semua pelajar yakin dengan pihak Pengurusan Kampus dan Universiti kerana mereka sedang melakukan yang terbaik dalam memastikan kebajikan semua pihak adalah terpelihara walaupun pergerakan adalah terhad.
Malah, beliau turut menyatakan bahawa Kampus Kejuruteraan sememangnya telah lama bersedia dengan satu jawatankuasa seramai 120 orang yang akan bergerak serta membantu di dalam permasalahan-permasalahan seperti ini dari masa ke semasa.
Tambah Nor Azazi, selain berharap agar sumbangan yang disampaikan melalui Jawatankuasa Operasi COVID-19 Kampus Kejuruteraan dan Pusat Islam ini dapat membantu meringankan beban pelajarnya, ia juga jelas menunjukkan keprihatinan pihak Universiti terhadap pelajar-pelajar terbabit yang pasti sangat terkesan dari segi emosi kerana terpaksa berjauhan dari keluarga masing-masing bagi tempoh yang agak lama.
Antara sumbangan barangan makanan dan keperluan harian pelajar yang disampaikan adalah seperti roti, biskut, pembersih tangan, penutup muka dan sabun.
Teks: Siti Faizah Abd Halim
- Created on .
- Hits: 692