USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA USM HASILKAN 10,000 PELINDUNG MUKA BUAT PETUGAS BARISAN HADAPAN NEGARA

PULAU PINANG, 5 April 2020 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dihadapi kini tidak menghalang 110 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) menggembleng tenaga bersama menghasilkan 10,000 pelindung muka dalam projek yang dinamakan FaceshieldHEROES.

Kesemua pelindung muka FaceshieldHEROES itu seterusnya akan disumbangkan kepada barisan hadapan terdiri daripada petugas-petugas kesihatan yang kini sedang bergelut dengan penularan jangkitan virus COVID-19 di utara tanah air iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

91613066_2965746590153021_2286136793021546496_o.jpg

 

Menurut Naib Yang di-Pertua II Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM merangkap Pengarah Projek FaceshieldHEROES, Ahmad Naim Mohamed Salleh, penghasilan pelindung muka ini merupakan kerjasama yang terjalin antara MPP USM dengan Belia Harmoni Timur Laut dan Pertubuhan Gema Pulau Pinang untuk membantu barisan hadapan negara yang amat memerlukan pelindung ini agar dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna menghadapi wabak COVID-19 ini.

"Kesemua sukarelawan terlibat ditempatkan di bilik khas Desasiswa masing-masing yang memenuhi Standard Operating Procedure (SOP) bagi proses menyiapkan pelindung muka ini antaranya Desasiswa Tekun, Desasiswa Saujana, Desasiswa Restu, Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan, Desasiswa Indah Kembara, Desasiswa Indah Kembara, Desasiswa Aman Damai dan Desasiswa Bakti Fajar Permai Petas, dengan setiap sukarelawan akan menyiapkan 100 pelindung muka dalam tempoh yang ditetapkan," kata Ahmad Naim ketika ditemui.

Tambahnya lagi, setiap sukarelawan terlibat telah disaring dari segi tahap kesihatan iaitu sihat sepenuhnya tanpa menghidapi sebarang masalah kesihatan.

1_1.jpg

"Kita sentiasa mematuhi SOP sepanjang proses pembikinan pelindung muka ini seperti sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan hand sanitizer, memakai pakaian yang bersih dan mengamalkan penjarakan sosial termasuk dipantau oleh Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) masing-masing," kata Ahmad Naim.

Ahmad Naim turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat pimpinan tertinggi universiti terutamanya Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM yang banyak memberikan kerjasama dan sokongan sehingga projek kebajikan ini terlaksana dengan jayanya.

Pada masa yang sama, Naib Presiden Belia Harmoni Timur Laut, Mohd Adam Salim Mohd Salim berkata, sekarang ini adalah waktu kritikal buat negara, dan kita sebagai rakyat Malaysia haruslah sentiasa membantu antara satu sama lain demi membanteras wabak COVID-19 ini.

"Usaha yang dilaksanakan oleh pelajar USM dan NGO-NGO terlibat diharap sedikit sebanyak dapat membantu, walaupun tidak mampu dari segi kewangan tetapi dengan 10,000 FaceshieldHEROES ini ia mampu membantu barisan hadapan terutamanya doktor, jururawat dan petugas Kesihatan di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara terhindar dari wabak COVID-19 sepanjang melaksanakan tugas," katanya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 690

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024