USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANCANG LAHIRKAN 500 DUTA MYSIHAT SETAHUN

usmrokok1

PULAU PINANG, 11 Mac 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) merancang untuk melahirkan kira-kira 500 orang duta yang terdiri daripada siswa-siswinya untuk promosi program kesihatan dalam kalangan masyarakat. Program latihannya akan dimulakan dalam masa yang terdekat ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Projek USM Bebas Tembakau, Profesor Rahmat Awang, para pelajar yang terpilih akan menjalani latihan komprehensif yang pada akhirnya apabila mereka tamat pengajian boleh ditauliahkan untuk menjalankan aktiviti promosi kesihatan bukan sahaja dalam hal bebas tembakau tetapi juga lain-lain dengan bantuan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada masa ini, USM menjadi universiti pertama bebas tembakau secara komprehensif yang merangkumi semua aspek, termasuk dalam hal penggunaan produk tembakau dan bebas daripada penajaan oleh pengeluar rokok dan tembakau dalam semua aktivitinya.

“Ini bermakna di antara tahun 2013 – 2015, USM dijangka dapat melatih seramai 1,500 orang sukarelawan terlatih melalui bantuan MySihat untuk menjalankan projek-projek komuniti yang berkaitan dengan kesihatan,” kata Rahmat.

Menurutnya lagi, USM berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sokongan anak-anak muda dalam mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat, membantu dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan dan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat, termasuklah membangunkan bina upaya, memperkasakan masyarakat misalnya dalam konteks kampus di pusat pengajian dan PTJ dengan menjelaskan peranan dekan dan ketua jabatan, melibat sama masyarakat dan mengukuh sistem kesihatan melalui kolaborasi dan perkongsian antara sektor.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Bengkel Perancangan Strategik Projek USM Bebas Tembakau yang diadakan selama dua hari mulai hari ini. Seramai kira-kira 70 orang peserta mengambil bahagian dalam bengkel yang merangka seluruh aspek yang berkaitan dengan usaha menjadikan USM Bebas Tembakau sepenuhnya.

Projek di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Pusat Racun Negara, Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar dengan sokongan MySihat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melaksanakan sepenuhnya polisi bebas tembakau secara komprehensif di Kampus USM mulai 1 Januari 2013.

Sementera itu, ketika berucap merasmikan Bengkel tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySIHAT) Kementerian Kesihatan Malaysia, Y.Bhg Datuk Dr. Yahya Baba berkata daripada statistik yang ada menunjukkan bahawa 90% mereka yang terlibat dengan dadah bermula dengan merokok.

usmrokok2

“Cabaran zaman sekarang jauh lebih besar kerana kaitan rapatnya dengan dadah apatah lagi untuk mewujudkan lebih banyak kawasan di Malaysia bebas dari merokok walau pun hakikatnya majoriti dari masyarakat tidak menghisap rokok,” kata Yahya.

Tambahnya lagi, yang penting ialah untuk memastikan rakyat yang tidak merokok ini meminta hak untuk tidak menghisap asap rokok basi iaitu tempias daripada perokok-perokok tegar yang ada walau pun bilangan sebenar mereka ini berbanding dengan majoriti adalah lebih kecil.

“Kerana itu kita berusaha untuk mewujudkan duta USM MySihat Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdiri daripada anggota masyarakat yang berminat untuk menyampaikan mesej dalam kalangan komuniti mereka melalui gerakan sukarela,” katanya lagi.

Ketika berucap dalam majlis yang sama Profesor Rahmat Awang menjelaskan bahawa rokok adalah produk yang jualannya sah tetapi membunuh separuh daripada penggunanya.

“Kita sedar betapa data rasmi dunia menunjukkan yang berlaku satu kematian bagi setiap 5 saat manakala di Malaysia, satu kematian setiap jam.”

usmrokok3

Tambahnya lagi, isu berkaitan rokok adalah isu besar di peringkat dunia kerana ia merentasi pelbagai kelompok manusia dan negara, malah perjanjian antara negara yang terbesar ialah berkaitan rokok yang mengandungi 7000 bahan kimia dalam setiap batang rokok dan 5000 daripadanya adalah bahan kimia yang membawa kanser.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan terdapat seorang bagi setiap 2 orang akan mati jika terus merokok selama 40 tahun dan seorang bagi setiap 4 orang akan mati jika terus merokok selama 20 tahun.

“Yang membimbangkan kita ialah statistik yang makin meningkat saban tahun apatah lagi apabila didapati sebahagian besar daripadanya memulakannya ketika berusia 9 tahun,” tambah Rahmat. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2325

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024