USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAKMAL MIKROBIOLOGI DAN PARASITOLOGI HOSPITAL USM DIPILIH JALANKAN UJIAN PENGESANAN COVID-19

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 April 2020 – Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai fasiliti setanding Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dipilih dalam kalangan sepuluh makmal kendalian universiti awam di Malaysia untuk menjalankan ujian pengesahan COVID-19.

Hal ini berikutan peningkatan kes COVID-19 dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi meningkatkan kapasiti ujian pengesanan COVID-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut bekerjasama mengenalpasti dan memilih makmal diagnostik yang mempunyai kemampuan dalam menjalankan ujian di samping makmal-makmal sedia ada di bawah seliaan KKM.

Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Zakuan Zainy Deris menjelaskan, sebelum menerima arahan daripada KKM dan MOSTI, beliau diberi tanggungjawab dan tempoh dua minggu oleh Pengurusan Hospital USM untuk menyediakan prasarana secukupnya  bagi menjalankan ujian COVID-19.

WhatsApp_Image_2020-04-09_at_05.29.42_3.jpeg

“Kami memang menjangkakan Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi akan dipilih oleh kementerian berdasarkan kemampuan bukan sahaja dari segi peralatan yang sedia ada malahan staf yang berpengalaman dan telah dilatih dalam mengendalikan kaedah ujian RT-PCR.

“Kaedah RT-PCR ini sudah digunakan untuk pengesanan kuman-kuman yang lain di makmal kami, dan kaedah ini turut diguna pakai untuk mengesan kuman COVID-19 iaitu SARS-CoV-2.

“Pada 26 Mac lalu, ujian COVID-19 yang pertama telah dijalankan dan sebanyak 15 sampel yang diterima daripada kaunter saringan Hospital USM berjaya diuji walaupun ianya awal seminggu dari tarikh asal yang diberikan kepada kami sebelum ini," katanya.

Terdapat dua peringkat dalam ujian COVID-19 iaitu peringkat pertama melibatkan pengekstrakan asid nukleik di dalam virus dengan mengunakan kaedah manual atau mesin ‘Automatic Extracter’ dan peringkat kedua pula dikenali sebagai ‘Amplification’ dengan mengunakan mesin ABI 7500.

WhatsApp_Image_2020-04-09_at_05.29.42.jpeg

Setakat ini, Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi menggunakan sebuah mesin ABI 7500 yang menjalankan ujian ke atas 80 sampel dalam satu pusingan dan mampu membuat dua pusingan sehari manakala mesin BioRad digunakan sebagai persediaan sekiranya terdapat masalah dengan mesin ABI 7500.

Tambah Zakuan, sekiranya permintaan ujian melebihi had kapasiti, kes kecemasan akan diutamakan berbanding kes-kes lain. Ini adalah sebahagian daripada usaha USM untuk membantu meringankan beban kerja KKM di samping terus menjalinkan kerjasama pada masa akan datang termasuk dalam bidang kajian dan pengurusan pesakit COVID-19.

“Buat masa ini seramai 20 orang staf terdiri daripada Juruteknologi Makmal Perubatan, Pegawai Sains dan Pegawai Penyelidik mengendalikan ujian pengesanan COVID-19 dan kebanyakan mereka memang sudah berkemahiran dengan ujian RT-PCR.

WhatsApp_Image_2020-04-09_at_05.29.42_1.jpeg

USM juga menitikberatkan aspek keselamatan yang tinggi, yang mana sebilangan daripada mereka telah dihantar mengikuti latihan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan Makmal Kesihatan Awam, dan jumlah petugas akan ditambah di masa akan datang bergantung kepada keperluan ujian," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Noor Asmaliza Abdullah yang sudah 17 tahun berkhidmat sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) menganggap tugas menjalankan ujian pengesanan COVID-19 agak mencabar sejak dia bergelar JTMP.

Dia yang pernah terlibat dalam melakukan ujian pengesanan wabak SARS, telah menjalani latihan di HRPZ II dan Makmal Kesihatan Awam di Perol, mengakui  setelah melihat aspek keselamatan yang ditekankan, beliau yakin dan bersemangat untuk mengendalikan ujian tersebut.

Baginya, apa yang penting adalah untuk putuskan penularan wabak COVID-19 dan semestinya kerjasama semua rakyat Malaysia amat diperlukan.

Pastikan anda duduk di rumah dan biarkan para petugas barisan hadapan berjuang memberikan khidmat yang terbaik dalam usaha memutuskan penularan wabak ini serta mohon patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Teks: Mohd Hafiz Ya'acob/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 932

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024