USM HASILKAN KEBUK INTUBASI KHAS BANTU PETUGAS PERUBATAN TANGANI COVID-19
USM PENANG, 1 April 2020 – Salah satu inisiatif Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha untuk membantu petugas perubatan barisan hadapan COVID-19 sepanjang penularan wabak tersebut adalah dengan menghasilkan kebuk intubasi khas untuk pakar anesthesia (bius) yang diperlukan sewaktu merawat pesakit COVID-19.
Projek tersebut dijalankan bagi memenuhi permintaan daripada pelbagai fasiliti penjagaan kesihatan yang terdapat di sekitar Pulau Pinang yang memerlukan kebuk tersebut sebagai peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan kepada petugas perubatan mereka.
Inisiatif ini mendapat sokongan kewangan dan teknikal daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, dan dijalankan secara berkolaborasi dengan sebuah syarikat swasta, iaitu Carsion Advertising Enterprise.
Menurut Pengarah Jaringan Industri USM, Profesor Madya Dr. Yeoh Fei Yee, selain daripada sokongan kewangan yang diberikan oleh USM, pasukannya juga telah berjaya menjalankan kempen penjanaan dana untuk penghasilan kebuk tersebut melalui pelbagai platform media sosial.
“Keseluruhan proses penghasilan kebuk intubasi tersebut, termasuklah pencetusan idea, penyelarasan dengan institusi kesihatan seperti hospital, penjanaan dana, reka bentuk dan pembangunan, perolehan bahan mentah, penghasilan dan penghantaran dapat dilaksanakan dengan efisien dalam tempoh 36 jam,” kata Yeoh, yang juga merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.
Kata beliau juga, “Pada masa ini, terdapat 12 kebuk yang telah dihasilkan dengan tujuan untuk membantu melindungi pakar anesthesia daripada jangkitan COVID-19, dan empat kebuk sudah diedarkan ke Hospital Pantai, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam.”
“Lapan unit lagi akan diedarkan ke Hospital Parit Buntar, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dan juga Pusat Sejahtera USM,” tambah beliau lagi.
“Berdasarkan maklum balas daripada petugas perubatan di Hospital Pantai dan Hospital Pulau Pinang, kebuk-kebuk yang mereka peroleh daripada pembekal kini agak rapuh dan mudah rosak.
“Hal ini disebabkan oleh lapisan dindingnya yang nipis, kerana menggunakan bahan mentah yang lebih murah dan dicantumkan dengan kaedah lama, iaitu menggunakan pelekat seperti klorofom atau aseton. Bahan-bahan ini lazimnya kurang kukuh dan tidak tahan lama bagi kegunaan yang kerap untuk menampung pergerakan pantas para doktor,” jelas Yeoh.
“Oleh itu, pemilihan bahan dan proses pencantuman perlu direka dengan rapi, serta mengambilkira pelbagai faktor termasuk kekukuhan bahan, ketahanan dan pengaplikasian ergonomik serta ketersediaan bahan.
“Papan akrilik lutsinar senipis 4mm dipilih dan kebuk direka dengan cantuman minimum, iaitu menggantikan dua cantuman tepi dengan proses pelenturan yang dibentuk melalui kaedah pemanasan.
“Walaupun reka bentuk sedemikian memerlukan papan akrilik yang lebih besar dan lebih sukar untuk dibina, namun daya ketahanannya terjamin terutamanya semasa penghantaran dan pengaplikasian,” katanya, sambil memaklumkan juga bahawa USM berkemungkinan akan menambahkan penghasilan.
Kebuk tersebut dibina berdasarkan reka bentuk sumber terbuka (open source) daripada Dr. Lai Hsien-Yung, seorang pengamal perubatan di Taiwan, khususnya untuk mengatasi cabaran dalam menjalankan intubasi ke atas pesakit COVID-19 seluruh dunia, dan pada masa yang sama menjaga keselamatan dan kesihatan petugas perubatan dengan sebaik-baiknya.
Intubasi (intubation) ialah proses memasukkan tiub plastik ke dalam trakea pesakit untuk membuka jalan pernafasan, yang lazimnya dilakukan kepada seseorang pesakit COVID-19 apabila ia disambungkan ke alat pernafasan atau ‘ventilator’.
Pengedaran kebuk diselaraskan oleh Bilik Gerakan Nerve Centre COVID-19 USM di sini.
Terjemahan: Nabella Ridhuan Lau & Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 705