USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA USM DAN NGO HASILKAN PPE UNTUK BEKALAN HOSPITAL BERDEKATAN

BERTAM, 7 April 2020 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif menyediakan peralatan perlindungan diri atau Personal Protective Equipment (PPE) untuk menampung keperluan penggunaan petugas barisan hadapan di fasiliti-fasiliti perubatan yang berdekatan.

Projek itu telah mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB), Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Utara Malaysia, Pertubuhan IKRAM Negeri Pulau Pinang, Kedai StruggleDotCom dan penduduk sekitar Bertam, Tasek Gelugor, Sungai Dua, Seberang Jaya, Kulim, dan lain-lain.

WhatsApp_Image_2020-04-08_at_13.20.35_2.jpeg

 

Menurut Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman, ternyata terdapat keperluan mendesak untuk fasiliti-fasiliti perubatan yang berdekatan mendapatkan bekalan PPE ini kerana stok dari kesemua syarikat pembekal hampir habis.

“Memandangkan IPPT USM turut memberikan perkhidmatan klinikal, staf IPPT sendiri adalah terdedah kepada bahaya wabak COVID-19, maka sebahagian daripada PPE yang dihasilkan itu juga digunakan untuk menampung keperluan mereka.

WhatsApp_Image_2020-04-08_at_13.20.25_7.jpeg

“Tambahan lagi IPPT perlu bersiap sedia untuk membantu Hospital Kepala Batas sekiranya wabak pandemik ini berterusan atau menjadi semakin parah,” kata Syed Azhar.  

Katanya lagi, “Alhamdulillah hari ini kita dermakan 100 pasang gaun isolasi, 50 hijab dan 50 pasang sarung kasut masing-masing kepada Hospital Kepala Batas dan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara.”

WhatsApp_Image_2020-04-08_at_13.20.35_5.jpeg

Menurut Penyelaras Bilik Gerakan PPE IPPT, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin pula, sebanyak 485 pasang gaun isolasi, 200 sarung kasut, 155 hijab dan 70 penutup kepala telah dapat dihasilkan daripada 1,200 meter 'non-woven material' melalui projek ini, yang mana sebahagian besarnya akan disumbang kepada hospital dan klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang amat memerlukan PPE pada masa kini.

“IPPT bersama dengan kesemua NGO yang terlibat telah berganding bahu menyiapkan PPE itu dengan agihan tugas seperti mengambil ukuran, membuat pola jahitan, 'runner', menjahit dan melipat,” katanya.

WhatsApp_Image_2020-04-08_at_13.20.25_5.jpeg

 IPPT USM dan Hospital USM telah disenaraikan oleh KKM sebagai makmal bagi ujian diagnostik COVID-19 dengan menggunakan teknik 'quantitative reverse transcription polymerase chain reaction'.

Penglibatan USM dalam pengendalian ujian diagnostik itu adalah bagi menyokong hasrat KKM untuk mencapai 16,000 ujian seminggu. Semoga usaha ini akan dapat membantu mencegah penularan COVID-19 di negara ini.

WhatsApp_Image_2020-04-08_at_13.20.35_4.jpeg

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 898

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024