EDAR KIT BARANGAN KEPERLUAN ASAS: USM TERUSKAN MISI BANTUAN
USM PULAU PINANG, 3 April 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan misi bantuan kepada warganya yang terkesan dengan situasi semasa berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 dengan mengagihkan kit barangan keperluan asas harian bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Kit tersebut yang dikenali sebagai Maidaturrahman disediakan oleh Pusat Islam USM merangkumi barangan seperti beras, minyak masak, gula pasir, garam, kicap, sos dan sebagainya mula diedarkan hari ini oleh petugas-petugas khas dalam kalangan staf sukarelawan yang dikawal-selia oleh Bilik Gerakan (Nerve Centre) COVID-19 USM.
Kit itu merupakan sumbangan dari Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) USM berikutan hasil kaji selidik yang telah dijalankan tempoh hari oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dengan kerjasama Majlis Penghuni Desasiswa Bakti Fajar Permai Petas (BFPP) terhadap pelajar tanpa asrama (PETAS) USM yang tidak pulang ke kampung halaman sepanjang PKP ini.
Penyelaras Bilik Gerakan, Zulkifli Che Husin berkata, buat permulaan dua pasukan berasingan telah keluar membuat agihan kepada para pelajar dan staf golongan B40 di sekitar kawasan USM termasuk di Sungai Dua dan Jelutong.
"Kita amat berterima kasih atas kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memberi kebenaran kepada pihak USM untuk melaksanakan misi ini dan sejumlah 250 kit barangan telah siap diagihkan yang mana 100 kit adalah untuk agihan staf dan selebihnya kepada para pelajar PETAS," ujarnya.
Selain kit berkenaan, Kampus Kejuruteraan USM di NIbong Tebal turut menjalankan misi sama dengan mengagihkan 500 kit barangan keperluan pelajar seperti hand sanitizer, makanan kering, ubat gigi, pelindung muka dan sebagainya hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin.
Tambah beliau lagi, USM akan terus berusaha bagi memenuhi keperluan asas kepada warganya di samping menyeru lebih ramai warga kampus untuk sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung khususnya oleh pelajar dan staf golongan B40 dalam kalangan warga USM.
Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif lain yang telah dilakukan oleh USM termasuk penyediaan kupon makanan kepada pelajar dalam kampus, sesi e-kaunseling kepada yang memerlukan serta inisiatif MPP USM menganjurkan pelbagai aktiviti menarik yang bermanfaat untuk pelajar mengisi masa lapang mereka dan meredakan rasa kerisauan sewaktu berada di bilik dormitori masing-masing.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 953