USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AYUH KE HADAPAN DAN TANGANI MASA SUKAR INI BERSAMA! - TIMBALAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI

NIBONG TEBAL, 26 Mac 2020 – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Dr. Mansor Othman hari ini mengajak lebih ramai pihak supaya tampil ke hadapan dalam memastikan kebajikan pelajar di institut-institut pengajian tinggi seluruh Malaysia sentiasa terpelihara.

Beliau menyatakan yang demikian dalam satu lawatan serta pertemuan ringkas beliau ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang melibatkan Pengarah Kampus dan pegawai-pegawai utama Kampus hari ini.

WhatsApp_Image_2020-04-02_at_11.52.21.jpeg

“Semua pihak seharusnya faham bahawa pelajar-pelajar yang terkesan masih dalam proses untuk mengadaptasi situasi sukar ini dan mereka adalah keutamaan kita di kementerian.

“Oleh yang demikian, saya yakin melalui good samaritan di luar sana pastinya dapat menyalurkan sokongan dan dokongan yang diperlukan dalam memastikan kebajikan pelajar-pelajar ini terjaga walaupun sedang menempuh tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” kata beliau.

Mansor turut menekankan bahawa Menteri Pengajian Tinggi dan pasukan beliau pada masa ini juga sedang melakukan yang terbaik dalam menangani krisis yang melanda seluruh dunia ini berdasarkan maklum balas yang diterima daripada setiap lawatan yang diadakan.

Pada pertemuan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Infaq, Kampus Kejuruteraan.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dalam majlis yang sama menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan beliau akan sumbangan yang disampaikan oleh alumni USM Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan tahun 1976 itu.

“Malah, di sebalik krisis yang melanda negara pada hari ini, kita merasa berbesar hati kerana Timbalan Menteri sanggup turun padang dan mendengar maklum balas dan pendapat yang ingin diutarakan oleh pelajar kita yang hadir pada hari ini,” kata Azazi.

WhatsApp Image 2020 04 02 at 11.57.07 

“Malah, kita juga ingin menyatakan sokongan penuh kepada pihak kementerian di dalam situasi sekarang.

“Seperti yang dinyatakan oleh YB, pelajar adalah fokus utama dan kita tidak akan berkompromi dalam semua aspek demi memastikan keselesaan mereka sepanjang berada di dalam kampus untuk beberapa minggu akan datang,” tambah Azazi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 1016

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024