KUPON MAKANAN PERCUMA UNTUK MAHASISWA YANG MASIH BERADA DI KAMPUS USM
USM PULAU PINANG, 21 Mac 2020 – Pihak pengurusan tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPP USM) telah mengambil inisiatif dengan memberikan kupon makanan kepada para pelajar yang tinggal di dalam kampus dan desasiswa.
Kupon ini diberikan kepada para pelajar untuk digunakan selama 10 hari. Para pelajar boleh menggunakan kupon tersebut bermula Sabtu (21/3/2020) sehingga Ahad (5/4/2020). Setiap keping kupon makanan itu bernilai RM5.
Kupon dibahagikan kepada dua kluster iaitu kluster dalam kampus (Aman Damai/Bakti Permai/Cahaya Gemilang/Fajar Harapan/Kapits/Black Cabin) dan RST (Restu, Saujana & Tekun dan Dataran Usahawan).
Kupon diberikan untuk memastikan kebajikan para pelajar terpelihara dan dapat mengehadkan pergerakan pelajar walaupun di dalam kampus namun pelajar masih bebas menggunakan kupon di kluster yang terpilih.
Kupon makanan itu boleh diperoleh daripada pihak Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) masing-masing pada 21 Mac 2020 (Sabtu).
Semoga dengan usaha kecil ini pihak universiti dapat membantu para pelajar USM yang masih tinggal di dalam kampus di sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah membendung wabak COVID-19.
Teks: Majlis Perwakilan Pelajar USM SA 2019/2020
- Created on .
- Hits: 1793