USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TURUT HASILKAN PELINDUNG MUKA BANTU FRONTLINERS KESIHATAN

USM PULAU PINANG, 30 Mac 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama di antara penyelidik dengan kakitangan pentadbirannya tidak ketinggalan dalam menghasilkan pelindung muka bagi membantu mengatasi kekurangan alat tersebut untuk petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) kesihatan menjalankan tugas-tugas membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) USM, Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain, USM telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menghasilkan pelindung muka berkenaan dengan menggunakan teknik percetakan 3 dimensi (3D) dan bahan asas tertentu yang menepati piawaian standard untuk kegunaan petugas-petugas kesihatan.

WhatsApp_Image_2020-04-01_at_15.04.01.jpeg

 

Beliau juga berkata, pelindung muka berkenaan dihasilkan bagi menampung penggunaan tinggi alatan itu yang mana sehingga kini difahamkan, frontliners di sekitar negeri ini memerlukan kira-kira 61,000 pelindung muka sepanjang tugas mereka menangani wabak pandemik berkenaan.

Sehingga kini dianggarkan lebih 3,000 pelindung muka telah dihasilkan melalui kerjasama di antara PPKEE, PP Sains Komputer, PP Kejuruteraan Aeroangkasa, PPK Mekanik, CEDEC, MAKERS, PPK Bahan dan Sumber Mineral dan PP Seni.

Beliau juga berkata, kos penghasilan alat itu adalah hasil sumbangan persendirian dan juga suntikan modal dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, manakala penyelarasan dari aspek pengumpulan dan edaran dijalankan oleh NERVE Centre COVID-19 USM.

"Objektif penghasilan alatan ini adalah tidak lain dari membantu barisan hadapan menghadapi wabak ini dengan peralatan dan kemampuan yang ada.

WhatsApp_Image_2020-04-01_at_15.04.02.jpeg

"Berdasarkan maklumat yang diterima dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, sebanyak 61,000 unit diperlukan sebagai salah satu keperluan ‘Personal Protective Equipment (PPE) dan Consumables’ untuk menghadapi wabak COVID-19," jelas beliau.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024