USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JABATAN KESIHATAN NEGERI DIDIK COVID-19 KEPADA USM

USM PULAU PINANG, 19 Mac 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan daripada Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Datin Dr. Azizah Ab. Manan yang berkongsi dengan lebih terperinci berkaitan wabak COVID-19 amnya di negeri Pulau Pinang.

WhatsApp_Image_2020-03-19_at_13.51.14.jpeg

Dalam pembentangannya yang diadakan di Bilik Gerakan (Nerve Centre) COVID-19 di sini, Dr. Azizah memberitahu cara-cara dan langkah-langkah yang perlu diambil warga USM untuk membendung wabak ini daripada terus merebak dengan lebih serius.

“Semua warga USM sebaik-baiknya berada dalam keadaan “self isolation” buat masa ini untuk mengelakkan jangkitan ini daripada terus menular.

“Virus ini merebak dan berjangkit melalui partikel (droplets) seperti air bersin, batuk, selesema serta jangan berkongsi barangan jika dijangkiti,” tegasnya lagi.

Tambahnya, penularan ini dapat dibendung daripada terus merebak melalui penjagaan kebersihan yang kerap seperti mencuci tangan dengan air dan sabun serta mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dan menghadkan pergerakan.

Antara tanda dan simptom COVID-19 yang dapat dikenalpasti adalah demam 38 darjah Celsius selama 3 hari berturut-turut, batuk dan kesukaran untuk bernafas.

Sesi ini dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan Universiti seperti Pusat Sejahtera, Jabatan Keselamatan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, dan PTJ-PTJ lain yang berkaitan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 3444

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024