USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENUTUPAN SEMENTARA SECARA BERPERINGKAT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

ISNIN, 16 MAC 2020

PENUTUPAN SEMENTARA SECARA BERPERINGKAT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (17 MAC 2020 - 5 APRIL 2020)

Berikutan penularan wabak Covid-19 yang kian membimbangkan di dunia dan seluruh negara, pihak USM telah mengambil inisiatif melaksanakan penutupan sementara KESEMUA KAMPUS selama 3 minggu secara berperingkat, bermula Selasa, 17 Mac 2020 - Ahad, 5 April 2020.

WhatsApp_Image_2020-03-16_at_19.40.44.jpeg

1. STAF BEKERJA DARIPADA RUMAH

Semua staf Pusat Pengajian dan Pusat Akademik/Penyelidikan di kesemua kampus adalah DIWAJIBKAN bekerja dari rumah (work from home) mulai 17/3/2020 - 22/3/2020 (Fasa Pertama). Ini melibatkan kesemua PTJ kecuali PTJ-PTJ yang menawarkan perkhidmatan pusat (central agencies) universiti. Namun, untuk mengekalkan hubungan komunikasi di pihak PTJ, Ketua Jabatan diminta mempersiapkan sekurang-kurangnya dua (2) orang staf pentadbiran untuk berada di pejabat bertugas sepanjang waktu bekerja ketika minggu penutupan kampus ini. Tempoh waktu bekerja bagi staf yang bekerja dari rumah ditetapkan bermula 8:30 pagi - 5:30 petang dan mereka mestilah boleh dan sedia dihubungi oleh Penyelia/Dekan/Ketua Jabatan ketika waktu ini. Maklumat lanjut mengenai garis panduan arahan pelaksanaan ‘Bekerja dari Rumah’ (Work from Home) ini akan dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar.

2. ANJAKAN KE HADAPAN CUTI PERTENGAHAN SEMESTER

Pihak Universiti telah memutuskan untuk mengadakan anjakan cuti pertengahan semester (yang asalnya 6/4/2020 - 12/4/2020) lebih awal kepada 30/3/2020 - 5/4/2020. Para pelajar tidak dihalang untuk kembali ke kampung masing-masing semasa cuti pertengahan semester. Namun, pelajar LEBIH digalakkan agar berada di dalam kampus sepanjang tempoh tersebut. Ini bertujuan mengelakkan risiko penularan wabak ini.

3. LALUAN MASUK DIHADKAN DI KESEMUA KAMPUS USM

Laluan pintu masuk dihadkan di semua kampus USM. Para pelawat (bukan warga USM) yang melalui pintu-pintu ini perlu menjalani pemeriksaan keselamatan/penyaringan kesihatan di checkpoint yang berdekatan pintu. Di kampus Induk, hanya dua pintu utama dibuka (pintu Sg. Dua dan pintu Stadium). Pintu ke Desasiwa RST turut dibuka. Manakala di kampus Kejuruteraan, pintu utama sahaja. Bagi kampus Kesihatan dan IPPT, laluan dibuka seperti biasa dan tidak ditutup. Beberapa drop off dan pick up points akan disediakan bagi ibu bapa/pelawat yang mengambil/menghantar pelajar. Ibu bapa/pelawat TIDAK dibenarkan ke kawasan desasiswa.

4. PREMIS PENJUALAN MAKANAN SECARA BUNGKUSAN      

Semua premis yang menjual makanan di semua kampus dikehendaki menyediakan makanan secara bungkusan (packed food) sahaja yang boleh dibawa pulang oleh pelanggan mulai 17/3/2020 - 22/3/2020. Semua pelanggan DILARANG untuk makan/berada di premis tersebut sepanjang tempoh ini.

5. SOLAT JUMAAT / SOLAT FARDHU DI MASJID AL-MALIK KHALID

Solat Jumaat berjemaah untuk minggu ini (20/3/2020) tidak akan dilaksanakan di Masjid Al-Malik Khalid USM. Semua jemaah diminta untuk melaksanakan ibadah solat Zohor di kediaman masing-masing. Bagi solat fardhu pula, buat masa ini, jemaah perlu membawa sejadah dan telekung masing-masing. Jemaah dari luar kawasan USM tidak digalakkan hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardhu sepanjang tempoh ini.

6. HADKAN URUSAN DI PREMIS KHIDMAT AWAM USM

Masyarakat sekitar yang ingin mengunjungi premis khidmat awam seperti bank, pejabat pos dan lain-lain yang terdapat di dalam kampus adalah tidak dibenarkan untuk berbuat demikian. Sebaliknya diminta untuk mencari alternatif lain di luar kawasan kampus USM.

7. WAKTU PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN

Perkhidmatan SEMUA perpustakaan akan dibuka sehingga 2.00 petang, Selasa, 17/3/2020. Selepas itu, perpustakaan akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

8. PENUTUPAN MUZIUM DAN GALERI TUANKU FAUZIAH (MGTF), GALERI CEMACS DAN ARKEOLOGI.

Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Galeri CEMACS dan Arkelogi akan ditutup kepada pengunjung/pelawat bermula daripada hari ini, 16/3/2020 - 30/4/2020.

9. PELAKSANAAN PROSES DEKONTAMINASI KENDIRI

Pihak Universiti juga akan memulakan proses dekontaminasi kendiri (self-decontamination) untuk kesemua kampus secara berperingkat demi memastikan kebersihan dan keselamatan warga kampus.

Kesemua warga kampus diharap bersabar dalam keadaan getir ini dan bersatu hati dalam mengharungi penularan wabak ini. Semua inisiatif di atas dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga dan kawalan persekitaran selama 3 minggu ini supaya wabak ini tidak merebak dan sebagai langkah tanggungjawab sosial (CSR), pengawalan penularan (containment) dan pengasingan sosial (social distancing) yang diamalkan oleh Universiti.

Sebarang pertanyaan, mohon hubungi:

COVID-19 Hotline - 03-88810200

                                03-88810600

                                03-88810700

 

PROFESOR DR. FAISAL RAFIQ MAHAMD ADIKAN

Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia

16 Mac 2020

  • Created on .
  • Hits: 4560

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024