USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM IKTIRAF SUMBANGAN WANITA

usmkanita

PULAU PINANG,  8 Mac 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa memandang tinggi dan mengiktiraf sumbangan wanita baik dalam bidang akademik, pengurusan, pentadbiran dan menghargai potensi yang wujud dalam diri mereka.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, universiti turut berbangga dengan kehadiran pemimpin-pemimpin wanita dalam pelbagai lapangan yang tidak terkecuali dalam menyumbangkan tenaga dan idea dalam meningkatkan pencapaian universiti.

Katanya, momentum ini akan terus disokong dan ditingkatkan dalam usaha semua pihak bersama-sama memacu kecemerlangan universiti, sekaligus menjadi pencetus inspirasi untuk warga kampus terus cemerlang, terkehadapan dan melakar kisah-kisah kejayaan untuk universiti.

``Menjadi agenda universiti juga untuk memperkenalkan pelbagai program dan dasar yang dapat memanfaatkan golongan wanita terutamanya golongan terkebawah, selari dengan halatuju dan keprihatinan universiti terhadap cabaran yang dihadapi wanita,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat USM 2013 yang bertemakan Agenda Wanita di Universiti : Refleksi Melangkaui Masa anjuran Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) di sini hari ini

usmkanita1

Tambah beliau, program pengupayaan ekonomi melalui program pinjaman mikrokredit (mikro-pinj) yang diselaraskan KANITA telah memanfaatkan kira-kira 43 peratus peminjam dalam kalangan wanita dengan jumlah sehingga RM 290,594.

Omar juga berkata, USM juga telah menganjurkan beberapa program pembangunan keusahawanan selaras dengan objektif universiti untuk menerapkan dan membudayakan keusahawanan dalam kalangan warganya tanpa mengira gender.

``Saya menyeru agar lebih ramai staf wanita mengambil peluang seumpama ini untuk meningkatkan lagi tahap sosio-ekonomi mereka dan mensejahterakan pembangunan ekonomi keluarga,’’ ujarnya.

usmkanita3

Dalam pada itu, sambutan tahunan itu diadakan selaras dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu The Gender Agenda: Gaining Momentum.

Turut dimuatkan dalam majlis tersebut adalah sesi forum yang berkisarkan kepada tema sambutan, dengan memperlihatkan barisan panel kehormat seperti Timbalan Naib Canselor Bahajian Jaringan Industri & Masyarakat, Prof. See Ching Mey, akademia, Prof. Roshada Hashim, wakil pengurusan dan profesional, Nurul Nur Farhana Yahya serta wakil pelajar yang berpengalaman ke misi Gaza, Palestin, Nazurah Mohd. Noh. Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.

 

  • Created on .
  • Hits: 2234

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024