USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

Kenyataan Akhbar KPK 14 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Kenyataan Akhbar KPK 14 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa dua (2) kes (kes ke-35 dan kes ke-61) yang disahkan positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Sungai Buloh. Ini menjadikan 35 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Pada 14 Mac 2020 jam 12.00 tengah hari, sebanyak 41 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Kesemua kes baharu yang telah disahkan ini adalah dari kalangan patient under investigation (PUI) (37 kes) dan kontak rapat kes COVID-19 (4 kes). Dengan pertambahan 41 kes baharu ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes.

Sehingga kini, seramai 203 kes masih dirawat di wad dengan lima (5) daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral. Sehingga 14 Mac 2020, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) telah diuji di IMR, semua makmal kesihatan awam dan hospital. Setakat ini tiga (3) sampel positif jangkitan COVID-19. Kesemua kes positif ini berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh.

NASIHAT KESIHATAN

Orang awam dinasihatkan untuk kekal tenang dan diminta mengelak sama sekali untuk menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan perhimpunan tabligh ini demi menjaga keharmonian umum. Sentiasa dapatkan maklumat terkini perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 ini dari kenyataan akhbar dan pengumuman yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan/atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

KKM ingin menegaskan keputusan Kerajaan yang telah diumumkan melalui Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020. Keputusan ini akan diteliti semula apabila situasi COVID-19 bertambah baik.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada penduduk komuniti lemah (vulnerable community) dan rentan jangkitan terutama di kawasan pendalaman seperti komuniti Orang Asli, KKM menasihatkan agar sebarang organisasi atau kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti bersama komuniti ini untuk menangguhkan berjumpa dengan penduduk komuniti ini. Namun begitu, KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada penduduk kawasan pendalaman, termasuk kepada komuniti Orang Asli melalui aktiviti outreach. Ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan KKM serta kesihatan komuniti ini terus dipelihara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga amat mengalu-alukan sebarang bantuan perubatan, sumbangan berkaitan perubatan atau kolaborasi perubatan yang ingin ditawarkan oleh mana-mana pihak termasuk organisasi bukan Kerajaan (NGO). KKM memohon agar tawaran atau usul tersebut dikemukakan kepada KKM melalui emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi diselaraskan oleh KKM.

Sebagai langkah mencegah penularan COVID-19 di hospital:

  • pelawat ke hospital dihadkan kepada DUA (2) ORANG bagi setiap pesakit dalam satu-satu masa;
  • kanak-kanak di bawah umur 12 TAHUN TIDAK DIBENARKAN melawat pesakit di wad;
  • pelawat yang mempunyai GEJALA INFLUENZA seperti sakit tekak, batuk, selesema, demam, muntah dan cirit-birit tidak dibenarkan berada di wad; dan
  • pelawat yang berisiko tinggi mendapat jangkitan seperti yang menghidap penyakit kronik dan indidvidu dengan imuniti rendah (contoh pesakit dalam rawatan barah) tidak dibenarkan melawat hospital KECUALI atas sebab kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa dan orang awam akan sentiasa dimaklumkan mengenainya.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia,

Kementerian Kesihatan Malaysia

  • Created on .
  • Hits: 4435

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024