USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

COVID-19: TANGGUNGJAWAB SOSIAL, POLISI PENCEGAHAN DAN PERKEMBANGAN TERKINI DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

TERKINI

COVID-19: TANGGUNGJAWAB SOSIAL, POLISI PENCEGAHAN DAN PERKEMBANGAN TERKINI DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Warga kampus dan masyarakat sekitar kampus Universiti Sains Malaysia (USM),

Seperti yang kita sedia maklum, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 berada pada tahap pandemik pada 11 Mac 2020. Statistik terkini merekodkan sebanyak 132,000 jangkitan melibatkan 123 negara (WHO, 14 Mac 2020). Dalam situasi sedemikian, USM turut menjangkakan terdapat dari kalangan warganya yang akan turut sama berisiko dan turut dijangkiti dengan virus COVID-19 ini.

USM memantau dengan serius laporan baru-baru ini tentang warganya yang disyaki mengidap COVID-19. Dalam hal ini, USM bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri. Sebarang kenyataan rasmi sama ada kes tersebut positif atau sebaliknya, hanya dapat dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehingga jam 10.00 malam, 14 Mac 2020, pihak USM belum menerima sebarang makluman rasmi dari pihak berwajib.

WhatsApp_Image_2020-03-15_at_13.56.36_2.jpeg

 

Sehubungan itu, USM komited untuk:

i) bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan menerima dan mengikut arahan-arahan terkini daripada KKM berhubung dengan tindakan yang boleh dan perlu diambil.

ii) bersedia dengan rancangan pencegahan dan mitigasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dirangka untuk menangani penularan COVID-19.

Sebanyak 16 inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan seluruh warga Universiti. Di sini saya kongsikan sebahagian darinya:

1.         PENUBUHAN JAWATANKUASA KRISIS KHUSUS UNTUK COVID-19: Jawatankuasa Krisis yang dipengerusikan oleh Naib Canselor bermesyuarat minimum seminggu sekali bagi merancang strategi pencegahan dan pengurusan COVID-19. Jawatankuasa ini juga boleh dan akan dipanggil dengan notis serta merta bagi situasi luar jangka. Kali terakhir ianya bersidang ialah pada hari Sabtu, 14 Mac 2020.

2.         PENYEDIAAN BAHAN INISIATIF PENCEGAHAN: Pusat Sejahtera telah mula mengedarkan sanitiser di dewan-dewan kuliah dan PTj. Sila ambil maklum yang Pusat Sejahtera telah mengambil inisiatif sendiri dalam menghasilkan sanitiser tetapi stok hanya cukup sehingga hujung April 2020. Saya memohon seluruh warga untuk menggunakannya secara berhemah.

Pusat Sejahtera telah memulakan latihan pencegahan bersama staf lapangan termasuk Jabatan Keselamatan, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), dan juga staf kaunter. Latihan akan dijalankan secara berperingkat.

Peralatan perlindungan seperti topeng muka (face mask) akan dibekalkan terlebih dahulu kepada staf 'front liners'.

3.         PERUNTUKAN KHAS: Peruntukan tambahan RM350,000 telah disediakan bagi menangani pemasalahan ini.

4.         LARANGAN KEPADA SEMUA WARGA USM (STAF DAN PELAJAR) KE LUAR NEGARA UNTUK URUSAN RASMI, PERTIMBANGAN SEMULA PERJALANAN TIDAK RASMI DAN SARANAN TAMBAHAN UNTUK SEMUA PERJALANAN

Perjalanan Rasmi: Semua perjalanan warga kampus ke luar negara bagi urusan rasmi di bawah pembiayaan Universiti adalah dilarang. Pihak Universiti juga menggesa agar semua perjalanan rasmi domestik dapat ditunda dan digantikan dengan kaedah alternatif (perhubungan dan bekerja atas talian misalnya).

Perjalanan Tidak Rasmi atau Peribadi: Pihak Universiti juga menggesa warganya untuk turut meneliti kemungkinan menunda rancangan perjalanan (domestik dan antarabangsa) yang bersifat tidak rasmi.

5.         LARANGAN PENGANJURAN SEMINAR/BENGKEL/PERHIMPUNAN RASMI ATAU PENUNDAAN PENGANJURAN SEDIA ADA

Semua acara rasmi seperti yang disenaraikan di atas atau acara yang melibatkan perhimpunan yang besar membawa risiko yang tinggi dan perlu kita elakkan sama sekali (baik yang melibatkan warganya atau pihak umum). Universiti menggesa agar semua penganjuran ini dapat ditunda ke satu masa yang lebih bersesuaian, atau dibatalkan setelah dipertimbangkan sewajarnya tanpa menjejaskan jenama Universiti Sains Malaysia.

Sekiranya terdapat pertemuan melibatkan lebih 25 orang yang tidak dapat kita elakkan sama sekali, penglibatan Pusat Sejahtera adalah penting untuk tujuan saringan suhu badan dan langkah pencegahan dapat dilakukan (ini dipertanggungjawabkan kepada penganjur). Namun begitu, kaedah pertemuan dan perkongsian atas talian (online) adalah yang terbaik dalam situasi sekarang.

Bagi acara-acara rasmi yang akan berlangsung pada hujung minggu ini (13, 14 dan 15 Mac 2020), pihak MPRC telah mula menghubungi penganjur-penganjur untuk menasihatkan mereka agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghubungi Pusat Sejahtera USM untuk tindakan selanjutnya, termasuk mengadakan screening test kepada setiap pengunjung.

USM akan menguatkuasakan kedua-dua larangan (4 dan 5) di atas bermula pada 16 Mac 2020 sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berdasarkan kepada situasi, risiko dan perkembangan semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

6.         PERALIHAN KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KOVENSIONAL KEPADA ATAS TALIAN (ONLINE)

Semua kuliah di SEMUA KAMPUS dihentikan serta-merta dan digantikan dengan kaedah atas talian (online), berkuatkuasa mulai HARI INI 15 Mac 2020. Dekan Pusat Pengajian masing-masing akan menghubungi semua pelajar untuk memaklumkan secara terperinci bagaimana kaedah ini akan dilaksanakan.

Pihak Universiti, dengan kepakaran Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), sedang melaksanakan peralihan kaedah pengajaran dan pembelajaran kepada pendekatan atas talian (online) yang meminimakan interaksi sosial untuk semua pengajian akademik. Perubahan ini pastinya akan menimbulkan banyak persoalan kepada tenaga pengajar dan pelajar. Dekan Pusat Pengajian masing-masing akan berhubung terus dengan semua pensyarah dan pelajarnya agar perubahan ini dapat dilakukan dengan lancar. Proses migrasi ini dijangka akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Untuk komunikasi dan penasihatan kaedah alternatif, hubungi Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik*.

7.         PENUNDAAN DAN PENGURANGAN LAWATAN KE KAMPUS

Komitmen dan penerimaan Lawatan (rasmi dan tidak rasmi) ke Universiti dari mana-mana sekolah dan institusi pendidikan luar perlu sebaiknya ditunda buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak. Pihak MPRC kini telah memulakan proses menunda komitmen lawatan terdahulu ke tarikh yang lebih bersesuaian. Penundaan ini juga berkuatkuasa pada 16 Mac 2020.

8.         AKTIVITI PENYELIDIKAN DAN OPERASI UNIVERSITI

USM komited kepada usaha berterusan dalam bidang penyelidikan. Semua penyelidik digesa untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu agar usaha ini dapat dijalankan dengan selamat dan berkesan.

Semua pusat perkhidmatan Universiti kekal beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19* di sepanjang tempoh operasi.

Perkongsian ini juga adalah perkongsian susulan kepada makluman pertama "NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN JANGKITAN COVID-19 UNTUK TINDAKAN KETUA JABATAN" yang dikongsi oleh Pendaftar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) pada 2 dan 10 Mac 2020 yang lalu.

Saya berharap situasi global ini dipandang serius oleh seluruh warga Universiti.

Saya juga ingin mengajak saudara dan saudari untuk bersama-sama saya dan seluruh pimpinan Universiti untuk terus membantu agar kita dapat mengekalkan suasana selamat di semua kampus Universiti Sains Malaysia. Saudara dan saudari adalah aset terpenting Universiti ini dan kita harus bersama di dalam melindungi satu sama lain dan keluarga masing-masing pada saat di luar jangka seperti yang sedang dihadapi dunia sekarang. Ini juga adalah tanggungjawab sosial kita bersama.

Semoga kita dilindungi dan usaha pencegahan ini dirahmati. Juga saya mendoakan agar segala urusan saudara dan saudari serta keluarga dipermudahkan dalam suasana serba mencabar ini.

 

PROFESOR DR. FAISAL RAFIQ MAHAMD ADIKAN

Naib Canselor

15 Mac 2020

  • Created on .
  • Hits: 5558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024