150 PELAJAR PENGAJIAN ISLAM, AL-QURAN DAN TAJWID PUSAT ISLAM USM DITAULIAH SIJIL TAMAT PENGAJIAN
USM PULAU PINANG, 10 Mac 2020 – 150 orang pelajar yang mengikuti Pengajian Islam, Al-Quran dan Tajwid peringkat dewasa kelolaan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditauliahkan sijil tamat pengajian baru-baru ini.
Kesemua graduan yang berumur seawal 18 tahun sehingga 65 tahun berjaya mengikuti silibus dan melalui ujian yang ditetapkan selama 2 tahun oleh tenaga pengajar yang bertauliah dari Majlis Agama Negeri Pulau Pinang.
Buat kali ke-6 pentauliahan sijil tersebut dilaksanakan sejak tahun 2010, program keilmuan USM itu bermatlamat untuk meningkatkan tahap kefahaman dan ilmu dalam kalangan warga kampus dan masyarakat luar, dan telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang menguasai pelbagai bidang pengajian Islam dan Al-Quran.
Pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim berkata sememangnya graduan pada hari ini amat layak menerima penghargaan dan wajar diraikan detik bersejarah setelah berkorban masa dan tenaga untuk mencapai impian bagi mendalami ilmu yang berkait rapat dengan tanggungjawab sebagai seorang mukmin.
“Saya yakin bahawa faktor usia dan kewangan bukanlah halangan utama sekiranya kita ingin mendalami ilmu agama yang berkait rapat dengan pelaksanaan sebuah ibadah yang berkualiti,” katanya ketika hadir mewakili Naib Canselor merasmikan Majlis Graduasi Persijilan Pengajian Islam dan Ihtifal Kuliah Pengajian Al-Quran dan Tajwid Dewasa kali ke-6 tahun 2020 di Dewan Budaya USM.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Islam USM atas usaha berterusan dalam menawarkan program pendidikan sepanjang hayat khususnya yang berkaitan dengan pengajian Islam mencakupi ilmu Al-Quran, Syariah, Aqidah dan Akhlak yang menjadi asas penting dalam pelaksanaan ibadah yang sempurna dan menjadi mukmin yang sejati.
“Usaha ini selari dengan kedudukan Pusat Islam USM yang terletak di dalam sebuah menara ilmu dan mendokong usaha pihak Universiti yang ingin melahirkan warga kampus yang membudaya ilmu sepanjang hajat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, sejumlah 26 orang tenaga pengajar Program Quran@Qalbu USM turut dianugerahkan sijil penghargaan dan cenderamata atas usaha mereka melahirkan ramai graduan dalam Pengajian Islam dan Al-Quran sepanjang tahun di USM.
Yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Pusat Islam USM mewakili Pengarah Pusat Islam USM, Ustazah Hajah Rohayati Daud; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari dan penceramah undangan majlis tersebut, Imam Muda Ashraf yang turut menyampaikan ceramah bertajuk “Ilmu Melestarikan Ummah”.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 3973