USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR MALAYSIA TULAR GEMPARKAN AMERIKA HADIR KE USM

USM PULAU PINANG, 10 Mac 2020 – Wakil graduan University Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat dari Malaysia yang tular baru-baru ini di seluruh dunia melalui ucapannya di upacara konvokesyen universiti tersebut, hari ini hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) menyampaikan ceramahnya sempena sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat USM.

Lisa Kamal, yang nama sebenarnya Lisa Nur Marini Mohd Kamal, 23, menyampaikan ceramah bertajuk ‘Touch Down With Lisa Kamal – Realising The H.E.B.A.T Agenda’ yang menjurus kepada memotivasikan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia kini khususnya golongan wanita dalam aspek pendidikan.

WhatsApp_Image_2020-03-10_at_22.01.09.jpeg

“Anda boleh lakukan apa yang anda minat lakukan dalam hidup ini dengan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan fokus untuk mencapainya walaupun perlu melalui pelbagai cabaran,” jelas graduan Geologi ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM, Profesor Dr. Noraida Endut yang menyampaikan ucapan berkata, cabaran kepimpinan wanita masa kini amat hebat dalam dunia yang semakin kompleks.

“Sambutan ini lebih kepada untuk meraikan setiap individu di dalam dunia ini dalam memperjuangkan generasi kesaksamaan gender dan untuk hidup dengan aman dan damai antara satu sama lain serta mengelakkan diskriminasi,” tambahnya. 

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Mohamad Abdullah; Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT, Hazlan Abdul Hamid; dan Yang diPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri.


Screen_Shot_2020-03-10_at_10.09.06_PM.png

Majlis turut diserikan dengan persembahan Sketsa oleh Persatuan Seni Silat Cekak USM dan Adikarma Buskers USM.

Program ini adalah anjuran bersama KANITA, BHEPA dan MPP USM 

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 4822

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024