USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASAKAN PENYELIDIKA PERUBATAN TRADISIONAL DAN INTEGRATI


KOTA BHARU, 6 Mac 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan perkasakan penyelidikan tentang perubatan tradisional dan integratif sebagai sebahagian daripada kearifan tempatan dan juga pemindahan ilmu untuk masyarakat.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pertama Perubatan Tradisional dan Integratif di Pusat Transformasi Wilayah (RTC) Tunjung, Kota Bharu Kelantan.

Persidangan dua hari ini dianjurkan oleh Persatuan Apiterapi Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan FAMA dengan kerjasama MARDI dan Jabatan Agama Islam Kelantan.

Menurut Omar, USM untuk membawa hasil penyelidikan seperti ini ke dalam masyarakat dengan mewujudkan pusat setempat atau outreach dan menjadikan perubatan tradisional dan integratif sebagai sebahagian dari program kearifan tempatan dan dijadikan lebih saintifik untuk diwarisi pada masa hadapan.

Tambah beliau lagi, USM akan membantu untuk melonjakkan perubatan tradisional dan integratif pada tahap yang lebih tinggi dengan mengetengahkan apa yang dihasilkan oleh universiti sesuai dengan program pemindahan ilmu, untuk membangunkan negara dan masyarakat.

“Banyak perkara yang boleh dilaksanakan untuk masyarakat terutamanya melalui program seperti Perubatan Tradisional dan Integratif ini yang perlu dibawa ke tahap yang lebih tinggi dan dapat difahami oleh masyarakat di samping memastikan ia dapat dibuktikan dari kajian saintifik dan dapat juga menghasilkan sarjana dan peringkat yang lebih tinggi,” kata Omar

Jelas Omar, justru perlu ada kerjasama yang akrab antara pelbagai pihak di universiti terutamanya para penyelidik dengan agensi-agensi lain untuk mencapai matlamat sebagai satu lagi rantaian ekonomi.

“Perubatan tradisional misalnya perlu dilihat dengan lebih jauh bukan hanya mengubati pesakit dan menjaga kesihatan tetapi juga untuk diamalkan sebagai satu cara hidup sihat yang berasaskan ilmu dan produk tempatan daripada mencari ubat apabila sakit termasuk tradisional, selaras usaha mencegah lebih baik dari mengubati,” kata Omar lagi.

Naib canselor USM itu juga menyeru agar para penyelidik USM menghasilkan hasilkan buku-buku yang mudah difahami tentang perubatan tradisional dan integratif sesuai dengan usaha menyediakan lebih banyak bahan bacaan dalam bidang perubatan yang boleh difahami oleh masyarakat.

Sementara itu, pengersu persidangan yang juga Presiden Persatuan Apiterapi Malaysia, Prof. Siti Amrah Sulaiman berkata, pihaknya telah lama berusaha gigih untuk memahami pelbagai aspek berkaitan perubatan tradisional dengan mengikuti sesi untuk mempelajari dan mendalaminya termasuk mengurut.

Beliau yang banyak terlibat dalam penyelidikan tentang madu lebah dan kelulut selama lebih 30 tahun yang juga sebagai Ketua Kluster Perubatan Integrtaif Pusat Pengajian Sains Perubatan USM mengharapkan agar penyelidikan dalam bidang ini akan dapat ditingkatkan untuk faedah masyarakat.

“Setelah terlibat dalam penyelidikan lebih 30 tahun, saya menyedari yang hasil penyelidikan kami  hanya dinikmati orang luar kerana pembentangan tentang hasilnya  dibuat dalam bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa dan kita jarang berkongsi dengan orang tempatan untuk merakyatkan ilmu kerana hasil penyelidikan perlu dikongsi dengan orang-orang biasa termasuk pengusaha seperti pengedar madu lebah, kerana itu juga di samping membuat penyelidikan di makmal, kami juga belajar menternak lebah,” kata Siti Amrah.

Konvensyen selama 2 hari itu dihadiri oleh lebih 70 peserta. Turut hadir di majlis itu ialah Haji Razalli Muid, Pengarah Kanan Industri Asas Tani yang mewakili Ketua Pengarah FAMA, Pengarah Kampus Kesihatan, Prof. Dato’ Mafauzy Mohamad serta pegawai-pegawai kanan USM dan FAMA. Teks & Foto: Mohamad Abdullah  

  • Created on .
  • Hits: 2010

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024