USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MARTABATKAN SEJARAH BUDAYA DAN BANGSA MELAYU

silat 1

PULAU PINANG, 2 Mac 2020 – Para mahasiswa dan golongan belia diingatkan agar sentiasa menghayati dan memartabatkan sejarah kegemilangan peradaban budaya bangsa Melayu demi kelangsungan memulihara warisan Melayu buat generasi akan datang.

Itu harapan Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Md Roslan Hashim yang mahukan pelbagai pihak bangkit bagi meneruskan tradisi memulihara warisan Melayu melalui penganjuran aktiviti atau program yang bersifat mengenali sejarah dan seni kebudayaan bangsa Melayu.

SILAT 2

Jelasnya, menjadi peranan utama pengamal-pengamal seni mempertahankan diri Melayu memperkasakan pelbagai program tahunan berkaitan sejarah peradaban Melayu, dengan semangat membuktikan kepada masyarakat Malaysia dan dunia bahawa sejarah peradaban Melayu menjadi tunjang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.

“Peradaban Melayu merupakan salah satu cabang budaya, seni mempertahankan diri dan seni berinteraksi dengan masyarakat yang perlu diketengahkan supaya ia menggambarkan keunikan budaya Melayu yang perlu dihargai oleh rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan program Sulalatus Peradaban Melayu 2.0 anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM (PSSCMUSM) di Dewan Budaya USM.

Jelas beliau lagi, persilatan bukan sekadar hanya menyemarakkan semangat silat itu sendiri, tetapi perspektifnya jauh lebih besar dalam konteks peradaban muslim dan peradaban manusiawi untuk menobatkan Allah S.W.T. sebagai Pencipta.

silat 3

Yang turut hadir adalah Naib Presiden 1 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia merangkap Yang Dipertua Silat Cekak Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Ar. Dr. Hj. Abdul Majid Bin Ismail; Pengarah Program Sulalatus Peradaban Melayu 2.0, Muhammad Hafizzudin Bin Mohd Sukri; Profesor Komunikasi di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Abdul Muati @ Zamri Bin Ahmad, serta Pengarah Bahagian Penyelarasan Dasar dan Pematuhan, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri, Shukri Bin Janudin.

Pada majlis yang sama, Penasihat 1 PSSCMUSM, Prof. Madya Dr. Abdul Hafiz Abdul Majid berkata, “Program Sulalatus Peradaban Melayu 2.0 kali ini berkonsepkan kepada salasilah, susur galur “Peradaban Melayu.”

silat 4

silat 5 edited

“Selain itu, diharapkan supaya Wacana Peradaban Melayu ini dapat merungkai pelbagai topik dan persoalan yang sering kali menjadi tanda tanya dalam masyarakat serta membuka minda semua lapisan masyarakat terutamanya bangsa Melayu bagi menghayati sejarah dan keunggulan tokoh-tokoh Melayu.

Tambah beliau, “Saya mengharapkan supaya ahli jawatankuasa dan ahli-ahli PSSCMUSM mengambil peluang dan inisiatif ini untuk mempelajari elemen kemahiran insaniah seperti dalam menguruskan majlis, mendapatkan penajaan dan berurusan dengan pegawai Universiti.

silat 7

Majlis turut diserikan Wacana Sejarah Peradaban Melayu dengan barisan ahli panel yang terdiri daripada Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi, UPM, Profesor Dr. Abdul Muati @ Zamri Bin Ahmad serta Pengarah Bahagian Penyelarasan Dasar dan Pematuhan, Jabatan Pendaftaran Negara, Shukri Bin Janudin dan malamnya persembahan Kebudayaan Cekak yang berlangsung di tempat yang sama.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar & Mohd Nur Firdaus Bin Saa’ban Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 6271

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024