JOM MERIAHKAN EKSPEN 2020, LEBIH 60 INDUSTRI DAN AGENSI AWAM TURUT SERTA
PULAU PINANG, 3 Mac 2020 – Ekspo Pendidikan dan Kerjaya (EKSPEN) 2020 kembali lagi dengan penyertaan lebih daripada 60 industri, syarikat SME, agensi awam termasuk institut pendidikan tinggi awam dan swasta bakal menanti para pelajar dan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) mahupun institusi pendidikan luar di sekitarnya.
EKSPEN 2020 kali ini menghidangkan lebih banyak peluang, maklumat dan perkembangan terkini pelbagai sektor pekerjaan dengan penyertaan lebih banyak syarikat dalam dan luar negara melalui pameran, ceramah serta taklimat pendidikan dan kerjaya.
Ekspo yang akan diadakan selama dua hari iaitu pada 13-14 Mac 2020 di Dewan Utama Pelajar, USM memberi peluang buat warga kampus menerokai alam pekerjaan yang bersesuaian di samping penyertaan Karnival Keusahawanan bagi menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan seiring dengan matlamat program MyCareer@MOE 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bercakap pada sidang media khas EKSPEN 2020, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr. P. Ramasamy berkata EKSPEN membuka peluang kepada semua pelajar mahupun graduan untuk meneroka pasaran kerja baharu melalui pameran yang disediakan, bengkel penulisan resume, ceramah kerjaya dan pendidikan, kaunseling dan juga temuduga terbuka.
“Kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan USM bagi penganjuran EKSPEN buat kali ke-14 ini bukan sahaja berjaya menarik minat pemain-pemain industri, malah membantu memperkasakan kebolehpasaran graduan di negeri Pulau Pinang dalam membangunkan modal insan secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, atas inisiatif di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan USM diharap mampu membimbing pelajar dan graduan dalam merancang peralihan ke alam pekerjaan, memilih kerjaya yang sesuai ataupun membuat keputusan dalam melanjutkan pengajian.
Pada sidang media yang sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, EKSPEN kali ini menyediakan platform kepada 17 Pusat Pengajian di kampus induk USM yang menawarkan lebih 200 peluang kerjaya dan latihan industri kepada para pelajar.
"Penganjuran EKSPEN saban tahun ini sebenarnya telah memberi kesan positif kepada kebolehpasaran graduan USM, ini terbukti dengan tercapainya 90% kebolehpasaran graduan pada tahun 2019 dan saya percaya boleh ditingkatkan lagi permintaan pasaran kerja untuk pelajar dan graduan USM pada masa akan datang,” jelas Aldrin lagi.
Beberapa orang artis jemputan tanah air, antaranya Ernie Zakri dan Rozita Che Wan akan turut sama memeriahkan ekspo kali ini dan semua dijemput hadir ke ekspo bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 3036