USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

THE STORY OF KHAMDY: INOVASI USM HASIL E-MODUL PENDIDIKAN INKLUSIF KANAK-KANAK AUTISM

khadim 1

PULAU PINANG, 3 Mac 2020 – Umum mengetahui Autism Spectrum Disorder (ASD) atau Gangguan Spectrum Autism merupakan satu gangguan perkembangan kanak-kanak yang boleh dikesan seawal usia 1 hingga 2 tahun dari segi permasalahan sosial, komunikasi dan tingkah laku.

World Health Organization (WHO) melaporkan sehingga tahun 2020, daripada 160 orang kanak-kanak yang ada di dunia, seorang daripadanya menghidap ASD. Di seluruh dunia, dijangka 6.25 juta kanak-kanak berusia antara 7 hingga 18 tahun mengalami gangguan perkembangan ini.

Dengan jumlah yang tinggi kanak-kanak menghidapi gangguan perkembangan ini, ditambah pula kurangnya kemahiran dan pengetahuan guru di sekolah untuk melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran khas yang sesuai untuk mereka, ia membuatkan golongan istimewa ini tidak memperoleh pendidikan, persediaan mental dan fizikal secukupnya.

Keadaan ini mencetuskan idea dan inovasi buat sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai oleh Dr. Low Hui Min bersama Profesor Dr. Lee Lay Wah, Profesor Madya Dr. Aznan Che Ahmad dan dibantu oleh Dr. Wong Tze Peng dan Ann Lee Sien Sut untuk menghasilkan produk ‘The Story of Khamdy’, yang beraspirasi untuk menyampaikan maklumat tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran khas untuk pelaksanaan pendidikan inklusif yang berkesan bagi golongan kanak-kanak ASD.

khadim 3

Menurut Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan itu, The Story of Khamdy ini merupakan e-modul yang dibangunkan dalam bentuk pembelajaran interaktif virtual di atas platform pembelajaran sosial Facebook bagi memudahkan guru mendapat maklumat tentang kaedah berkesan untuk mengajar kanak-kanak ASD di persekitaran inklusif. 

“Modul ini juga sesuai untuk dirujuk oleh ibu bapa atau pekerja sosial yang memberi perkhidmatan intervensi kepada kanak-kanak ASD dan keunikannya ialah isi kandungan disampaikan menerusi kaedah bercerita,” jelasnya.

Tambah Low melalui e-modul ini, guru mudah memahami penyampaian cerita melalui kompilasi lebih daripada 200 gambar yang menggambarkan pengalaman kehidupan seharian kanak-kanak lelaki bernama Khamdy yang menghidapi Autism Spectrum Disorder (ASD) dan bagaimana ibu bapa dan guru-gurunya membantunya menghadapi pelbagai cabaran hidup harian dalam persekitaran yang inklusif.

The Story of Khamdy ini turut menyampaikan 140 maklumat tentang teknik pengajaran khas untuk murid, jadi menerusi kaedah bercerita, guru mudah memahami cara teknik pengajaran khas ini dilaksanakan dan guru juga tertarik untuk mengetahui apa selanjutnya yang disediakan dalam modul pembelajaran ini.

khadim 4

“Latihan guru menerusi inovasi produk ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan memberi impak yang besar (low cost, high impact) kepada peningkatan kemahiran pedagogi guru untuk mengajar murid ASD di sekolah.

“Menerusi kaedah bercerita dan pembelajaran virtual secara interaktif atas talian, guru senang memahami dan menguasai pedagogi khas untuk mengajar murid ASD, sungguhpun ia bukan bidang kepakaran guru itu sendiri,” kata Low.

Produk inovasi USM “The Story of Khamdy – An e-Module for Teacher Training on Austim and Inclusive Education” baru-baru ini telah dinobatkan sebagai Anugerah Terbaik Malaysia Technology Expo (MTE) 2020 yang berlangsung pada 20-22 Februari 2020 bagi kategori Teknologi Pendidikan dan Pedagogi termasuk meraih pingat emas pada pertandingan yang sama.

Jelas beliau, sekiranya produk ini dapat diketengahkan di peringkat sekolah di Malaysia, ia sudah pasti menjadi penyelesaian buat 419,904 orang guru di Malaysia untuk merangka strategi pengajaran terbaik buat anak-anak ASD yang ada di negara ini.

“Pembinaan produk ini disokong oleh The HEAD Foundation, sebuah organisasi kebajikan untuk pembangunan pendidikan dan modal insan di Asia dan turut diiktiraf oleh The National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan Association for Autism in Laos (AfA),” jelas beliau lagi di akhir temubual. 

Beliau turut menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada pihak Souphanouvong University di Laos yang telah menterjemahkan e-modul ini ke Bahasa Laos untuk tujuan latihan guru di negara tersebut.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 3463

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024