USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR SARJANA SENI BINA LANDSKAP USM MENANG TEMPAT KETIGA DALAM PERTANDINGAN MURAL HARI LANDSKAP NEGARA 2020

lanskap 3 edited

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2020 - Pertandingan Mural Pelajar IPT sempena sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2020 (HLN2020) telah berlangsung meriah di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan tema “Generasi Muda Mencorak Landskap Negara” telah disertai 10 IPTA/IPTS, di antaranya USM, UIAM, UiTM Shah Alam, Kolej Universiti Agrosains Malaysia, dan Kolej Universiti Geomatika.

USM telah berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan tersebut yang diwakili oleh tiga orang pelajar Sarjana Seni Bina Landskap dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PBP), iaitu Mohammad Ikhwan bin Ibrahim, Mohamad Raffi bin Mat Saad dan Intan Syafiqah binti Mohamad Hamezan.

lanskap 1 edited

Mewakili rakan-rakannya yang lain, Mohammad Ikhwan berkata, mural USM mengambil inspirasi daripada River of Life (RoL) yang mewakili salah satu projek pengindahan landskap negara yang berjaya, dan bangunan-bangunan ikonik pencakar langit sebagai latar pemandangan bandar metropolitan Kuala Lumpur pada masa hadapan yang menjadi kebanggaan Malaysia.

“Bunga raya sebagai bunga kebangsaan juga digubah menjadi corak batik yang melambangkan identiti seni dan warisan negara, ditambah pula sepasang mata yang menggambarkan visi dan pandangan generasi muda yang melihat masa depan landskap negara sebagai sebuah Negara Taman yang menuju ke arah kelestarian serta kesejahteraan penduduk,” katanya.

lanskap 2 edited

Sempena sambutan tersebut, USM juga telah mengambil bahagian dalam Pameran HLN2020 dari 28 Februari hingga 1 Mac 2020, yang diwakili oleh Dr. Nor Fadzila Aziz, Dr. Nor Arbina Zainal Abidin dan Dr. Massoomeh Hedayati, pensyarah program Sarjana Seni Bina Landskap dari PBP.

Program Sarjana Seni Bina Landskap USM merupakan program yang telah distruktur semula untuk memenuhi keperluan pengiktirafan daripada Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dan telah mula ditawarkan semula pada Sidang Akademik 2019/2020 untuk kemasukan Februari dan September.

Program ini dibuka kepada calon-calon yang mempunyai ijazah sarjana muda dari pelbagai latar belakang rekabentuk dan bukan rekabentuk, dalam bidang-bidang berkaitan.

lanskap 4 edited

Sebelum ini, program ini dikenali sebagai Sarjana Sains Seni Bina Landskap telah ditawarkan sejak tahun 1998 dan telah menghasilkan lebih daripada 100 orang graduan di peringkat Sarjana.

Teks asal: Dr. Nor Fadzila Aziz (HBP)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 2117

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024